DI sebalik deretan motosikal yang saban hari berselisih di jalan raya, ada satu kisah tentang ketabahan seorang penghantar makanan yang sudah lebih enam tahun mengharungi panas, hujan dan bahaya meredah lalu lintas demi menyara keluarga tercinta.
Bagi Hamdi Mahat, kerjaya itu bukan sekadar rutin harian, tetapi perjalanan panjang yang membentuk disiplin, ketahanan mental dan rasa syukur yang tidak pernah padam.
Hamdi memulakan langkah dalam dunia penghantaran itu sebagai kerja sambilan. Niatnya hanya satu, iaitu mencari rezeki tambahan untuk keluarga.
BACA LAGI : Jimat kira-kira RM800 setahun, ramai masih tak tahu individu OKU, waris layak dapat cukai jalan percuma
Namun, semakin lama, dia melihat kerjaya tersebut mampu memberi pendapatan stabil, malah menawarkan kebebasan masa yang tidak pernah ada semasa bekerja tetap dahulu.

Hamdi Mahat sudah bekerja sebagai penghantar makanan selama enam tahun.
Dari seorang penghantar surat pejabat selama lebih dua dekad, Hamdi kini menikmati kelebihan menjadi majikan kepada dirinya sendiri.
"Perjalanan saya menjadi penghantar makanan atau rider bermula dengan niat mencari rezeki untuk keluarga.
"Pada awalnya, saya lakukan secara sambilan sebagai sumber pendapatan tambahan kerana sebelum ini saya bekerja sebagai seorang despatch.
"Dari situ saya sedar bahawa fleksibiliti dan peluang yang diberikan sebagai rider p-hailing, berbaloi untuk saya teruskan dalam jangka masa panjang dan sepenuh masa.
"Sebagai rider saya adalah 'bos' kepada diri sendiri, bebas mengatur masa dan menentukan pendapatan melalui usaha saya sendiri," katanya kepada Majoriti.
Akui lelaki berusia 46 tahun itu, tidak semua orang memahami kerja penghantar makanan.

Menurut Hamdi, bekerja sebagai penghantar makanan memberinya peluang menyertai pelbagai program berkaitan keselamatan jalan raya serta pengurusan kewangan.
Ada yang memandang rendah, namun bagi Hamdi, maruah pekerjaan tidak diukur pada glamor, tetapi pada niat dan kejujuran.
"Sebenarnya saya bangga menjadi rider, kerana bagi saya, apa yang penting ialah kejujuran, disiplin dan niat untuk mencari rezeki halal.
"Kerja sebagai rider juga membuka peluang untuk saya berjumpa dengan pelbagai orang, melihat tempat baharu dan paling penting, membawa kegembiraan kepada pelanggan apabila pesanan mereka sampai tepat pada masanya," katanya yang menjadi penghantar makanan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Lebih membanggakan, Hamdi turut menyertai pelbagai program berkaitan keselamatan jalan raya serta pengurusan kewangan.
"Sekarang terdapat banyak sokongan untuk pekerja gig.
"Contohnya, melalui program seperti GoGiggers, kami diberi pendedahan tentang pengurusan kewangan dan peluang menambah simpanan masa depan.
"Saya sendiri mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta ada simpanan tambahan. Semua ini buat saya rasa lebih yakin dan dilindungi semasa bekerja di jalan raya," ujarnya.

Bagi Hamdi, bekerja sebagai penghantar makanan menawarkan kebebasan masa yang tidak pernah ada semasa dia bekerja tetap dahulu.
Isteri penyokong paling setia, anak-anak jadi sumber semangat
Hamdi turut meluahkan rasa syukur kerana memiliki keluarga yang memahami.
Isterinya, Rozana yang sudah mengenali rutin kerjanya sejak zaman bujang, menjadi tulang belakang terkuat.
"Setiap hari, saya akan minta isteri doakan saya sihat dan dimurahkan rezeki.
"Walaupun jadual padat, kami sentiasa saling menyokong. Isteri membantu urusan harian anak-anak dan rumah tangga," ujarnya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, anak-anaknya juga sangat menghargai usaha yang dilakukannya.
"Setiap bulan saya beri mereka elaun. Mereka gembira dan bersyukur. Keluarga yang saling menyokong membuatkan saya kuat bekerja setiap hari," katanya.
Rezeki umrah dua kali
Dengan dedikasi dan konsistensi, Hamdi bukan sahaja berjaya membawa keluarga bercuti, malah turut menunaikan umrah bukan sekali, tetapi dua kali.
"Dapat menunaikan umrah dengan tajaan penuh memang pencapaian paling bermakna bagi saya dan keluarga.
"Lebih istimewa kerana ia dianugerahkan majikan (Foodpanda) kepada rider berprestasi tinggi.
"Alhamdulillah, tahun ini kali kedua saya menerima penghormatan tersebut,” katanya.

Menunaikan umrah dengan tajaan penuh memang pencapaian paling bermakna bagi Hamdi dan keluarganya.
Lunas hutang rumah dalam enam tahun
Hamdi turut berkongsi kerja sebagai penunggang p-hailing selama enam tahun membolehkannya melunaskan hutang rumah sepenuhnya.
"Saya dan isteri sentiasa prihatin dengan perbelanjaan. Setiap bulan, sebahagian pendapatan diperuntukkan untuk bayaran hutang dan simpanan.
"Syukur, tahun lepas saya berjaya selesaikan hutang rumah," katanya.
Ditanya jumlah hutang tersebut, Hamdi berkata, ia mencecah ratusan ribu ringgit, namun disiplin berbelanja dan komitmen bulanan membantu mempercepat penyelesaiannya.
"Tipnya mudah, jangan belanja lebih dari kemampuan, asingkan simpanan setiap bulan dan sentiasa rancang kewangan. Insya-ALLAH, rezeki akan cukup," kongsinya.
Tiada istilah menyesal jadi rider
Menutup bicara, Hamdi menegaskan, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk terus kekal dalam kerjaya tersebut.
Menurutnya, yang penting ialah melakukan terbaik setiap hari.
"Bekerja sebagai rider telah membuka pintu lain bagi saya.
"Setiap kerja ada cabarannya, tetapi saya tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk kekal dalam pekerjaan ini. Yang penting kita buat yang terbaik setiap hari.
"Rezeki itu luas, asalkan rajin berusaha dan tidak mudah putus asa. Dalam kerja seperti ini, disiplin serta kekuatan mental dan fizikal sangat penting untuk terus bertahan.
"Selain itu, jangan lupa menyimpan duit walaupun sedikit setiap bulan. Simpanan kecil yang konsisten boleh bantu kita waktu susah nanti. Insya-ALLAH, setiap usaha akan ada hasilnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
