'Bumbung bocor, solar hidup segan mati tak mahu', peniaga sedih MyKiosk kurang praktikal


  • Bisnes
  • Selasa, 09 Dis 2025

Kios niaga MyKiosk di bawah inisiatif KPKT ini dikatakan memiliki kekurangan dari segi pembinaan struktur dan kefungsian. — Threads/ aimyra

KEMUDAHAN kios niaga baharu yang sepatutnya memudahkan urusan peniaga kecil kini menerima kritikan apabila beberapa kekurangan asas menjejaskan operasi harian mereka, terutama pada musim hujan.

Seorang peniaga meluahkan rasa kesal selepas mendapati struktur MyKiosk hasil inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu dikatakan tidak memenuhi ciri yang diperlukan untuk berniaga dengan selesa.

Bagi Aimy Amira, sebagai peniaga, dia bukan tidak bersyukur namun berpendapat ada kelemahan dari segi struktur pembinaan dan kefungsian pondok niaga itu.

BACA LAGI: Larangan media sosial bawah 16 tahun tak bina ketahanan digital, pendidikan digital lebih berkesan

BACA LAGI: Bukan yang pertama, pengguna bongkar ada 19 kenderaan lain jadi mangsa stesen isi petrol bercampur air

“Alhamdulillah, dari niaga pakai khemah dapat duduk dalam kios. Tapi bila hujan tetap basah. Bukan tak bersyukur, tapi sebagai pengguna nak mengadu juga,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Menurutnya, tempias air hujan sering masuk ke dalam ruang jualan, termasuk melalui celahan panel tingkap.

Malah, terdapat kios lain yang didakwa mengalami kebocoran di bahagian bumbung.

 

“Solar yang diberi pun hidup segan mati tak mahu. Nak pakai lampu waktu malam pun tak sampai beberapa jam. Pernah sekali sejam pun tak sampai,” tambahnya.

Seorang lagi pengguna Threads, Nur Haziqah Allijah turut berkongsi pengalaman bertanya kepada beberapa peniaga yang menggunakan kios sama. 

Katanya, masalah bukan hanya ketika hujan, tetapi juga semasa cuaca panas.

“Kalau musim hujan, air terkena tempat letak barang. Kalau panas pula, ada cermin bulat yang pantulkan cahaya panas terus ke makanan. 

"Peniaga kena 'cover' dengan kotak atau kain. Basically it's just unpractical kios,” jelasnya.

Selain isu reka bentuk, beberapa pengguna turut berpendapat kios berkenaan tidak sesuai diletakkan di kawasan tertentu.

Placement banyak mencacatkan pemandangan, dengan kebanyakannya tak beroperasi pun. 

"Kios ini okay kalau letak dekat dataran khas untuk berniaga, tapi kalau letak tepi jalan atau depan kedai, memang tak seberapa rupa dia,” kata seorang lagi pengguna.

Para peniaga berharap pihak berkaitan dapat menambah baik struktur dan penempatan kios bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai kemudahan, bukan beban tambahan.

MyKiosk merupakan inisiatif KPKT yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Setakat Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan seluruh negara bagi membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram