Penuntut Indonesia belajar di Malaysia terkesan akibat banjir diberi bantuan RM500


  • Massa
  • Khamis, 11 Dis 2025

Ratusan penduduk terkesan akibat banjir besar dan bencana alam lain yang melanda negara jiran itu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua pelajar Indonesia terkesan akibat banjir dan sedang menuntut dalam negara akan menerima bantuan bernilai RM500.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Khamis, bantuan tersebut disalurkan sebagai rasa simpati dan dukacita terhadap bencana alam yang melanda Aceh dan Sumatera Utara.

"Sebagai tanda ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan, Malaysia akan menyalurkan sumbangan RM500 seorang sebagai permulaan kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan terkesan akibat bencana tersebut.

BACA LAGI: Rombakan kecil Kabinet akan dilakukan — Anwar Ibrahim

BACA LAGI: Jawatan baharu Tengku Zafrul diumum Rabu — PM Anwar

Anwar menjelaskan bantuan itu disalurkan sebagai tanda simpati ke atas nasib dialami penduduk sekitar Indonesia.

"Pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan boleh mendaftar dengan institusi pengajian masing-masing bagi membolehkan bantuan diselaras dan disalurkan mengikut keperluan mereka," tulis beliau.

Sejak awal Disember lalu, beberapa daerah sekitar Indonesia mengalami siri bencana alam, termasuk banjir dan tanah runtuh yang sehingga hari ini sudah mengorbankan 836 penduduk.

Di samping itu, seramai 518 individu masih hilang dengan kerosakan harta benda dinilai mencecah 68.8 trilion rupiah atau bersamaan RM16 bilion.

Menurut laporan, hujan lebat sejak akhir November menyebabkan banjir dan tanah runtuh di 37 daerah di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Kementerian Kesihatan Indonesia memberi amaran peningkatan kes penyakit bawaan air seperti cirit-birit, demam denggi dan jangkitan kulit.

Kekurangan bekalan air bersih dan sanitasi yang teruk di pusat pemindahan mempercepatkan penularan penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram