[VIDEO] Konflik sempadan Thailand-Kemboja: Hampir 1,000 sekolah ditutup


  • Benua
  • Selasa, 09 Dis 2025

Keputusan itu dibuat bagi mengelak orang awam, terutamanya kanak-kanak daripada terkorban dalam konflik tersebut. — Agensi

KETEGANGAN di sempadan Thailand dan Kemboja kembali memuncak apabila kedua-dua negara saling melancarkan serangan sejak Isnin, hanya kira-kira dua bulan selepas rundingan pendamaian diadakan.

Setakat ini, laporan media antarabangsa menyatakan seramai tujuh individu, termasuk orang awam sudah terkorban akibat serangan dilancarkan.

Menyedari risiko yang kian memuncak, kerajaan Thailand bersedia menutup hampir 1,000 sekolah di kawasan terjejas bagi menjamin keselamatan.

BACA LAGI: Bukan setakat Thailand, Tok Mat nasihat tangguh percutian ke Vietnam angkara banjir

BACA LAGI: Seorang askar Thai maut, tegas PM Anwar, Thailand-Kemboja perlu kembali berunding lepas ketegangan di sempadan memuncak semula

Narumon menjelaskan pelan kementeriannya dalam memastikan kurikulum sekolah tidak tercicir. — Agensi

Menteri Pendidikan, Narumon Pinyosinwat dalam satu persidangan pada Selasa menyatakan rancangan itu dengan pihaknya kini masih menunggu lampu hijau daripada pihak atasan.

Laporan media Thailand turut menyebut Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Asas (OBEC) sedang dalam proses menyediakan kit kelengkapan pembelajaran bagi memastikan kurikulum sekolah tidak terkesan.

Selain itu, sekolah di kawasan selamat sudah dipersiapkan sebagai pusat pemindahan bagi membantu orang awam supaya tidak menjadi korban dalam pergolakan berkenaan.

Setakat ini, sebanyak 22 sekolah sudah dipersiapkan, termasuk dari segi makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan itu dengan ia boleh menampung seramai 14,280 individu.

"Saya ingin berterima kasih kepada guru dan petugas pendidikan yang lain atas usaha menjamin keselamatan murid dan penduduk setempat di pusat perpindahan.

"Walaupun berada dalam keadaan mendesak, anda semua masih menjaga kebajikan kanak-kanak. Sila letakkan keselamatan orang awam sebagai kepentingan utama anda," katanya.

Ketika ditanya tempoh diperlukan untuk sekolah ditutup, Narumon berkata, pandangan pihak keselamatan perlu diperoleh sebelum keputusan dapat dibuat.

Malah, bagi mengelak kurikulum pelajar daripada tercicir, Narumon menjelaskan kementeriannya sudah menyediakan pelan pengajian sepanjang krisis, termasuk memberikan tugasan mengikut kelas masing-masing.

Namun, sekiranya perancangan itu tidak dapat dilaksanakan, terdapat kemungkinan kelas dalam talian akan diperkenalkan berdasarkan kesesuaian.

Menteri itu turut menjelaskan pelajar dan kakitangan dari sekolah vokasional turut tampil menghulur bantuan sepanjang pergalakan dengan menyediakan dapur di pusat pemindahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram