[VIDEO] Tong gas meletup punca 25 maut ketika tarian gelek berlangsung


  • Benua
  • Ahad, 07 Dis 2025

Kebakaran dipercayai berpunca daripada letupan silinder gas di dapur kelab.

SEKURANG-KURANGNYA 25 orang maut dalam kebakaran yang berlaku di kelab malam popular, Birch by Romeo Lane berhampiran sebuah pantai terkenal di Arpora, Goa, India pada malam Sabtu.

Kebanyakan mangsa dipercayai pekerja kelab tersebut, manakala beberapa pelancong turut termasuk dalam senarai 25 korban dalam insiden berkenaan.

Menurut Pengarah Polis Goa, Alok Kumar, kebakaran dipercayai berpunca daripada letupan silinder gas di dapur kelab yang menyebabkan api merebak dengan pantas ke seluruh premis.

BACA LAGI: 'Nampak dari orbit', angkasawan NASA rakam foto Masjidil Haram bercahaya

BACA LAGI: [VIDEO] Jalan raya sampai terangkat, rosak teruk akibat banjir besar di Aceh

"Kebakaran terutamanya tertumpu di kawasan dapur di tingkat bawah. Kebanyakan mayat ditemui berhampiran dapur, menunjukkan mangsa adalah pekerja kelab," katanya.

Ketua Menteri Goa, Pramod Sawant memaklumkan tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan melecur, manakala selebihnya akibat terhidu asap.

Beliau menambah antara tiga hingga empat pelancong turut maut, namun tidak mendedahkan umur atau kewarganegaraan mereka. Enam individu kini berada dalam keadaan stabil di hospital.

Kebakaran berlaku ketika kelab itu sesak dengan pengunjung kerana menampilkan DJ Bollywood dengan ia kawasan sekeliling juga dikenali sebagai tumpuan hiburan malam yang sibuk.

Seorang chef dari premis berhampiran menyatakan bahawa dia mengenali beberapa pekerja Birch dan menjelaskan bahawa ramai orang dari seluruh negara serta Nepal bekerja di kelab-kelab di Goa.

"Orang ramai dari seluruh negara dan Nepal bekerja di kelab-kelab di Goa. Saya risau tentang beberapa individu yang saya kenal di kelab itu. Telefon mereka tidak dapat dihubungi," jelasnya.

Dalam pada itu, pasukan kecemasan memeriksa serpihan terbakar awal pada pagi Ahad bagi menentukan punca sebenar kebakaran.

Kawasan itu dijaga ketat dan kelab ditutup, dengan tiada seorang pun dibenarkan masuk. Pihak berkuasa dilaporkan menemui serpihan kerusi, meja dan tanaman yang cair akibat kepanasan.

Seorang saksi berkata, malam itu adalah malam Sabtu biasa dan pelancong sedang berseronok sebelum terdengar jeritan panik.

"Dalam sekelip mata, jelas api besar telah meletup. Pemandangan itu sangat mengerikan," kongsinya.

Mayat-mayat mangsa dibawa ke Goa Medical College, Panaji untuk proses pengecaman dan pasukan bomba masih mengenal pasti identiti mangsa sebelum memaklumkan keluarga mereka.

Ketua Menteri Goa, Pramod Sawant berkata, satu siasatan rasmi telah dilancarkan, dan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang.

Perdana Menteri India, Narendra Modi memuat naik di media sosial menyifatkan kebakaran itu sebagai sangat menyedihkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram