Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa lagi, libatkan suapan hampir RM65,000 sewa rumah di Bukit Bandaraya


  • Kes
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Albert (kiri) dan Shamsul didakwa kerana beri dan terima rasuah berkait pembayaran rumah sewa.

BEKAS Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei sekali lagi didakwa atas tuduhan rasuah bernilai RM64,924 berkaitan sewa rumah.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin di Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.

Mengikut kertas pertuduhan, Shamsul dikatakan menggunakan kedudukannya sebagai orang kanan Perdana Menteri untuk menerima suapan berjumlah RM64,924 yang didepositkan ke dalam akaun CIMB bernama Rahmalidya Buyong.

BACA LAGI: 'Ada doa tanpa kata-kata, hanya air mata,' Zizie Izette luah rasa hiba pemergian Bung Moktar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ya ALLAH, peliharalah kami', ramai kongsi detik cemas harung banjir di KL

Sementara Tei pula dituduh memberikan rasuah bernilai serupa dalam bentuk tunai kepada Shamsul untuk didepositkan ke dalam akaun CIMB bernama Rahmalidya Buyong.

Mereka dituduh berbuat demikian di bank CIMB cawangan Country Heights, 1 Jalan Sinar Pagi, Country Heights, Kajang, Selangor pada 28 November 2023 dan 23 September 2024.

Pembayaran itu dibuat untuk melunaskan bayaran rumah sewa di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

Tindakan itu dikatakan untuk membantu syarikat yang dikaitkan dengan Albert untuk mendapatkan kelulusan lesen meneroka mineral di Sabah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abra, manakala Shamsul Iskandar diwakili oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.

Tei pula diwakili oleh peguam Rajesh Nagarajan, Mahajoth Singh, Eric Paulsen dan Rajesh Nagarajan.

Terdahulu, Farah memohon mahkamah untuk menggunakan terma jaminan yang sama seperti yang dikenakan ke atas Tei dan Shamsul Iskandar berhubung empat pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada Khamis, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin, membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin, mengarahkan pasportnya diserahkan sehingga kes selesai, dan mewajibkannya melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan.

 Manakala, Tei pula diberi jaminan RM70,000 dengan dua penjamin.

Hakim Mohd Nasir kemudiannya membenarkan terma dan syarat jaminan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digunakan, dan memerintahkan kes itu dipindahkan ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan bersama. — The Star/ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram