[VIDEO] Wanita 'cop parking' terkedu dikalahkan teknologi


  • Tular
  • Rabu, 10 Dis 2025

Tangkap layar seorang wanita dilihat berdiri di tengah-tengah sebuah petak parkir bagi menghalang orang lain daripada menggunakan ruang tersebut.

 

 

RAGAM manusia ‘cop parking’ bukan lagi perkara baharu, khususnya di lokasi sesak seperti pusat beli-belah, pasar raya atau kawasan perumahan.

Penat mencari ruang sudah satu hal, lebih menguji kesabaran apabila ada pula yang meletakkan objek atau tubuh sendiri semata-mata untuk menempah petak kosong.

Situasi sama tular di China baru-baru ini apabila seorang wanita dilihat berdiri di tengah-tengah sebuah petak parkir bagi menghalang orang lain daripada menggunakan ruang tersebut.

BACA LAGI: 'Jadikan banjir di Hatyai sebagai pengajaran', pemilik kenderaan disaran ambil insurans tambahan 'Extension 101' sebelum masuk Thailand

BACA LAGI: Jangan hanya teruja lihat harga murah, 5 tip elak terbeli kereta terpakai rosak banjir

Kejadian itu dikongsikan di platform X (Twitter) oleh pemilik akaun Massimo, hingga menarik perhatian warga maya seluruh dunia.

Namun aksi ‘cop parking’ itu berakhir dengan insiden melucukan apabila teknologi lebih ‘bijak’ daripada manusia.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu, sebuah kereta mewah dilihat menghampiri petak parkir berkenaan.

 

 

 

Pemandunya kemudian mengundurkan kenderaan dan keluar, seolah-olah ingin beredar dari situ. Wanita itu menyangka ruang itu bakal menjadi miliknya.

Tanpa disedari, kereta tersebut sebenarnya dilengkapi fungsi parkir automatik dan mula bergerak sendiri.

Menggunakan sokongan sensor serta sistem kecerdasan buatan (AI), kenderaan itu perlahan-lahan mengundur dengan tepat menuju ke dalam petak parkir tersebut.

Wanita yang pada mulanya yakin tidak akan berganjak, akhirnya kelihatan terkedu apabila kereta itu terus memasuki ruang tersebut tanpa berhenti sekali gus menggagalkan percubaannya untuk memastikan tempat parkir itu 'dimiliki'.

Fungsi autonomi penuh membolehkan kenderaan itu memarkir sendiri tanpa campur tangan pemandu, dan insiden tersebut menjadi bukti bagaimana teknologi moden mampu mengatasi taktik ‘cop parking’ yang sering mencetuskan kemarahan ramai.

Video berkenaan sehingga kini terus dikongsi pengguna media sosial, dengan rata-ratanya menyifatkan kejadian itu sebagai 'puas hati' dan kemenangan untuk semua pemandu yang pernah berdepan situasi sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram