
AHLI politik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan bahawa hasratnya untuk berkongsi ilmu sebagai penyampai radio di Era FM tidak dapat direalisasikan.
Menurut Syed Saddiq, beliau sudah menandatangani kontrak tetapi pihak pengurusan stesen radio terbabit kemudiannya memaklumkan bahawa kerjasama tersebut tidak dapat diteruskan atas 'sebab-sebab tertentu'.
Ahli Parlimen Muar itu begitupun tidak menjelaskan bahawa punca sebenar kerjasama tersebut tidak dapat diteruskan dan hanya akan dimaklumkan pada masa yang sesuai.
BACA LAGI: 'Pastikan mereka dimiskinkan', tiba masa keluarga Zara Qairina ikut saranan Syed Saddiq buat saman sivil
BACA LAGI: Terlepas hukuman penjara dan sebat, Syed Saddiq bebas dakwaan salah guna dana Armada
Disebabkan itu, ruangan komen Threads beliau juga rata-rata dihujani persoalan-persoalan berhubung situasi terbabit.
"Pada hari Khamis lepas, saya telah tandatangan kontrak bersama ERA FM untuk sertai team Tiga Pagi Era sebagai salah seorang DJ mereka.
"Mereka teruja, saya pun teruja. Dua-dua gembira. Saya dah maklumkan kepada mereka, 100% gaji saya akan disumbangkan sebagai biasiswa kepada 20 mahasiswa dari Muar yang datang dari keluarga susah.
"Saya teruja sebab nak berganding dengan Abang Nabil, Pak Azad, Radin. Saya nak bawa perspektif edutainment. Sambil mendidik, kita menghibur. Runding dah, sign kontrak dah, photoshoot dah, video shoot pun dah. Mama Abuya (ibu bapa Syed Saddiq) dah rancang nak datang dah untuk pengumuman hari ini (Jumaat)
“Anak-anak Muar yang bakal dapat biasiswa pun dah dimaklumkan. Tetapi, semalam (Rabu) saya dimaklumkan oleh team Era atas sebab-sebab tertentu kerjasama ini tak dapat diteruskan,” kata Syed Saddiq memetik video dimuat naik di Threads pada Khamis.
Namun begitu, beliau memuji kejujuran pihak stesen radio berkenaan yang tetap berpegang pada komitmen untuk melunaskan bayaran kontrak sesuai dipersetujui dan bayaran tersebut akan disalurkan sepenuhnya ke Tabung Biasiswa Muar.
Keputusan itu bagaimanapun masih diterima dengan hati terbuka dan beliau percaya dengan setiap perancangan yang diatur ALLAH SWT biarpun pintu rezekinya cuba ditutup oleh individu lain.
"Sedih? Tak. Sebab saya percaya, satu pintu rezeki tertutup, 10 lagi dibuka.
"Pada hari yang sama, saya diberitahu, pelan dengan ERA perlu put on hold. Hari yang sama juga, saya dapat tawaran-tawaran berbeza yang berjumlah. RM1,060,000.
"Sebab itu kawan-kawan ingat satu saja. Trust ALLAH’s plan. Every setback builds a stronger man. Nantikan," tambahnya lagi.
Terdahulu, tular sebuah perkongsian memaparkan Syed Saddiq menandatangani sebuah kontrak sambil ditemani oleh pelakon tanah air iaitu Bella Astillah.
Perkongsian berkenaan pada awalnya dipercayai membawa khabar gembira, namun Syed Saddiq memilih untuk menunggu masa yang sesuai sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi kepada orang ramai.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan pada Khamis, Era mengesahkan kerjasama itu tidak dapat diteruskan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pada masa sama, Era komited melaksanakan apa yang dipersetujui antara kedua-dua pihak, namun kenyataan itu masih tidak memberikan butiran terperinci berhubung perkara itu termasuk punca Syed Saddiq tidak menjadi penyampai redio stesen berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram