
PENINGKATAN kes kemalangan membabitkan kenderaan barangan berat (Heavy Goods Vehicle – HGV) sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan apabila kebanyakan insiden berpunca daripada kegagalan mekanikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dan tegas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) wajar menilai semula tempoh pemeriksaan rutin bagi kenderaan berat supaya dipendekkan daripada enam bulan kepada tiga bulan bagi memastikan tahap keselamatan berada pada paras optimum.
BACA LAGI: Masalah 'Persimpangan Mario' dijangka selesai hujung bulan ini — Harrison Hassan
BACA LAGI: ADUN Jeram sudah lama turun padang, cadang ‘Simpang Mario’ ditutup selama-lamanya
"Saya bertegas bahawa pihak berwajib perlu mengambil langkah drastik untuk menangani isu ini.
"Tempoh enam bulan bagi pemeriksaan berkala kenderaan berat tidak lagi mencukupi memandangkan kenderaan jenis ini beroperasi di bawah beban kerja yang tinggi dan memerlukan penyelenggaraan lebih kerap.
“Selain itu, pemeriksaan mengejut serta sekatan jalan raya perlu diperhebatkan bagi memastikan semua kenderaan berat sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Pemilik syarikat pengangkutan juga harus lebih bertanggungjawab dan peka terhadap tahap penyelenggaraan armada masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Majoriti.
Datuk Harrison Hassan
Beliau berkata, beberapa insiden kemalangan maut yang berlaku baru-baru ini jelas menunjukkan kelemahan dalam aspek penyelenggaraan serta kegagalan komponen mekanikal pada kenderaan berat.
"Antaranya insiden pada 27 September lalu di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor, apabila sebuah lori mengalami kegagalan brek sehingga menyebabkan kemalangan maut membabitkan beberapa kenderaan lain.
"Pada 24 Ogos lalu, sebuah lori rosak di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Muar, Johor, mengeluarkan asap tebal hingga menghalang penglihatan pengguna jalan raya dan mencetuskan kemalangan berantai melibatkan 12 kenderaan.
"Terbaharu pada Selasa lalu yang mana sebuah lori di Bukit Cherakah, Jeram, gagal membrek ketika menuruni bukit sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.
"Ketiga-tiga kejadian kejadian ini jelas menunjukkan corak kegagalan mekanikal yang berulang dan menuntut perhatian segera daripada pihak berkuasa,” ujarnya.
Harrison menjelaskan, dari sudut teknikal, pemeriksaan berkala setiap tiga bulan lebih sesuai kerana kenderaan berat beroperasi di bawah tekanan tinggi, melibatkan beban gandar besar, penggunaan brek berulang dan peningkatan haba pada sistem transmisi serta brek.
"Dengan kadar kehausan komponen yang tinggi, pemeriksaan setiap tiga bulan dapat mempercepatkan pengesanan kecacatan sekali gus memperkukuh kawalan penyelenggaraan pencegahan,” katanya.
Beliau menegaskan, peraturan pengangkutan diwujudkan bagi melindungi nyawa pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kegagalan mekanikal dan memastikan keselamatan serta integriti kenderaan komersial terus terpelihara.
"Insiden tragik yang berlaku baru-baru ini jelas menunjukkan margin keselamatan mekanikal kenderaan berat semakin menurun akibat tekanan operasi tinggi dan penyelenggaraan tertangguh.
"Oleh itu, JPJ perlu melaksanakan tindakan drastik demi keselamatan semua pengguna jalan raya," tegasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram