
MAHKAMAH Persekutuan menetapkan tarikh pendengaran pada Disember berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang didakwa atas kes rasuah berjumlah RM1.2 juta.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu pihak media tarikh pendengaran telah ditetapkan pada 11 dan 12 Disember.
"Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan bertulis sebelum 26 November. Tarikh 27 November turut ditetapkan untuk pengurusan kes," kata Shaharuddin.
BACA LAGI: [VIDEO] Bella tetap cari masa makan bersama keluarga, Syed Saddiq ada cara tersendiri urus tekanan
BACA LAGI: [VIDEO] Lihat dulu institusi kerajaan, adakah kita bayar gaji mininum? — Syed Saddiq
Syed Saddiq sebelum ini merupakan ketua ARMADA sebelum keluar daripada BERSATU.
Pada 22 September, pihak pendakwaan memfailkan 28 alasan rayuan dalam petisyen rayuannya.
Ia termasuk dakwaan hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah tersilap dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka membenarkan rayuan Syed Saddiq.
Pada 25 Jun, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq selepas mendapati hakim perbicaraan melakukan kesilapan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Dua hakim lain yang terlibat ialah Hakim Azman Abdullah dan Hakim Noorin Badaruddin.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Azhar Abdul Hamid, mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan, termasuk bersubahat melakukan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan dana dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM1.2 juta.
Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta, serta dua kali sebatan bagi semua pertuduhan tersebut.
Ahli Parlimen Muar itu didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan RM1 juta dana sayap pemuda parti BERSATU untuk melakukan pecah amanah.
Bagi pertuduhan kedua, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram melalui dua transaksi bernilai RM50,000 setiap satu, yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB). — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram