KECOH di media sosial apabila sebuah premis restoran baharu, Rembayung milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming menerima ulasan negatif walaupun kedai belum beroperasi.
Netizen menyifatkan tindakan meninggalkan rating lebih awal sebagai tidak matang dan hanya membusukkan imej peniaga yang baru memulakan operasi.
“Kedai bulan start, korang dah bagi rating. Rasa pun belum lagi.
"Paling teruk parkir pun korang pertikaikan. Relaks, janganlah bersikap macam ini,” tulis Diari Melaka menerusi satu posting pada Selasa.
BACA LAGI: 'Lebih indah dari Titanic', momen menakjubkan telusuri Selat Melaka di atas M/V Piano Land
"Busuknya hati, belum apa-apa lagi dah bagi bad review," ujar seorang pengguna, xnerorx yang kesal melihat komen tidak berasas itu.
Antara komen negatif yang ditinggalkan berbunyi, "Servis laju, parkir banyak cuma kena beratur lama."
Komen lain pula, "Kecewa dah sampai tapi tunggu KA (Khairul Aming) tiada. Dia sibuk memasak."
"Makanan sedap 10/10, Harga agak mahal sikit (5/10), setahun makan dua kali boleh lah," tulis reviu lain.

Seorang pengguna Facebook, Che Munawar berkata, tindakan sebegitu bukan salah pihak KA, tetapi mencerminkan sikap pengguna internet yang kurang matang.
Dalam sesi live Khairul Aming, beberapa maklumat tentang Rembayung turut dikongsikan antaranya operasi dijangka bermula pada Januari 2026.
Waktu operasi dari 11 pagi hingga 11 malam dan ditutup pada hari Jumaat sahaja.
Selain itu, tiada 'walk in' sebalik restoran hanya menerima tempahan awal kerana Khairul Aming tidak mahu orang beratur sampai sukar dikawal.
Lokasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur menjadikan tempat letak kenderaan agak terhad.
Khairul Aming menyarankan pelanggan pergi naik ehailing atau carpool selain boleh guna monorel kerana stesen hanya lima minit berjalan kaki dari restoran.
"Restoran KA tidak sediakan parkir tetapi di sebelah ini, ada tanah private yang khas untuk letak kenderaan yang boleh memuatkan 30 buah kereta.
"Orang biasa datang Kampung Baru pasti tahu ceruk mana pun boleh parkir," katanya menerusi sesi live pada Selasa.
Selain itu, surau turut disediakan namun bersaiz kecil, mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Harga makanan pada tahap sederhana dan tiada penghantaran makanan melalui GrabFood dan Food Panda buat masa ini.
Tempoh dine-in maksimum dua jam dengan kapasiti sehingga 250 pelanggan pada satu-satu masa.
Semua staf adalah warganegara Malaysia dan tiada private event buat masa ini.
Majoriti sebelum ini melaporkan Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman mendedahkan bahawa projek tersebut menelan belanja kira-kira RM4 juta.
Dia memilih untuk membangunkan bangunan restoran itu sepenuhnya dari kosong di atas tanah berkeluasan 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebuah lokasi ikonik yang terletak hanya sembilan minit dari KLCC.
Menurutnya, perkara itu adalah pelaburan tunggal terbesar yang pernah dibuat sepanjang kerjayanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
