SEORANG lelaki membanggakan seluruh rakyat Malaysia apabila menjadi cef Malaysia pertama yang meraih dua bintang Michelin menerusi restorannya di Singapura.
Mano Thevar yang mengendalikan restoran Thevar, menerima pengiktirafan itu pada 2022, setahun sebelum seorang lagi cef Malaysia, Darren Teoh, meraih dua bintang Michelin untuk restorannya, Dewakan.
Dalam banyak hal, perjalanan Mano menuju kemasyhuran hampir sama seperti dirinya, rendah hati dan tidak menonjol.
BACA LAGI: Peniaga Melayu dilabel malas, pengusaha 'street kitchen' tampil pertahan golongan usahawan kecil

Hidangan utama di Thevar ialah Mysore Spiced Rack of Lamb bersama Butternut Squash Masala dan Lamb Briyani. — Thevar
Membesar di Pulau Pinang, kenangan zaman kecilnya sentiasa dipenuhi keluarga dan makanan.
“Saya masih ingat ayah membawa kami makan di pusat penjaja. Kami tak pernah pergi restoran fine dining.
"Saya membesar dengan makan nasi lemak, char kway teow, nasi kerabu, nasi kandar dan macam-macam lagi. Semua rasa itu kekal dalam ingatan dan membentuk diri saya hari ini,” kata Mano.
Sebaik sahaja selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mano berdepan kehilangan besar apabila ayahnya meninggal dunia dan detik itu mengubah arah hidupnya.
“Hidup saya berubah selepas ayah meninggal. Ibu risau saya terjebak jadi samseng kerana masih muda dan naif.
“Tapi saya kata, ‘Saya perlu hidup. Saya perlu mulakan sesuatu untuk diri sendiri’.
“Sejujurnya, ketika itu saya tak tahu pun saya mahu jadi tukang masak. Saya pergi ke Singapura, jumpa beberapa orang yang tawarkan kerja di restoran Perancis,” kongsinya.

Mano memilih menu yang mencerminkan asal usulnya sebagai rakyat India-Malaysia.
Bermulalah perjalanan kerjaya Mano di restoran dengan dia menempa pengalaman di restoran Perancis dan Jepun.
Restoran-restoran itu termasuk Guy Savoy dan Waku Ghin, dua tempat yang membentuk filosofi dan pendekatan kulinari Mano.
Namun apabila peluang membuka Thevar muncul pada 2018, Mano memutuskan untuk kembali kepada akar warisan Malaysia-India.
“Saya sebenarnya tak tahu apa yang saya mahu lakukan. Saya tertanya-tanya sama ada saya boleh bina nama melalui masakan Barat.
“Akhirnya saya fikir, ‘Saya cef Malaysia India di Singapura, dan belum ada yang buat rasa Malaysia India — jadi kenapa tidak?’” katanya.
Di Thevar, Mano mempersembahkan hidangan yang membangkitkan nostalgia masakan Malaysia-India sambil digabungkan dengan teknik Jepun dan Perancis yang telah dipelajarinya.
Menu Experience di Thevar berharga S$298 (RM947) membawa pengunjung melalui perjalanan rasa yang diinspirasikan daripada zaman kecil Mano dan resipi keluarga yang dekat di hatinya.
Antara pembuka selera ialah Tomato Chaat dan Obsiblue Prawn Uttapam.
Turut mencuri perhatian ialah beberapa hidangan juga mencerminkan memori zaman kecil Mano.

Hidangan Chettinad Chicken Roti membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak Mano. — Thevar
Chettinad Chicken Roti contohnya, diinspirasikan daripada hidangan yang biasa dimakan bersama kakaknya.
“Kami selalu beli ayam Chettinad dari restoran India berhampiran, sapu mayonis dan bungkus dalam roti,” katanya sambil tersenyum.
Versi Michelin dua bintang menampilkan paha ayam yang dimasak perlahan, disiat dan digaul dengan yogurt, aioli bawang putih dan bawang goreng sebelum dibalut dalam naan buatan sendiri yang dipanggang rangup.
Hidangan Utama pula ialah Mysore Spiced Rack of Lamb dengan Butternut Squash Masala dan Lamb Briyani.
Pencuci mulut pula ialah Muskmelon Payasam, gabungan payasam beras sagu tradisional dengan sorbet melon Perancis dari Provence.
Ketika kecil, nenek Mano sering membuat payasam setiap Jumaat.
Hidangan Thevar membawa nostalgia itu tetapi diberi nafas baharu, dengan musk melon yang menambah lapisan rasa manis buah yang menyegarkan.
Secara keseluruhan, pengalaman di Thevar memberi tumpuan kepada makanan Asia Selatan yang ditafsirkan melalui lensa global. — The Star / ABIRAMI DURAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
