DALAM industri e-sukan yang semakin berkembang pesat, perjalanan menuju kejayaan bukan sekadar tentang kemahiran bermain, tetapi juga strategi bertahan dalam jangka masa panjang.
Bagi ikon e-sukan negara, Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, legasinya hari ini tidak terbina dalam tempoh semalaman, sebaliknya melalui perancangan, disiplin dan kemampuan melihat jauh ke hadapan.
Pengalaman Soloz menjadi bukti bahawa dunia e-sukan memerlukan lebih daripada sekadar bakat tetapi, ia menuntut kebijaksanaan mengurus kerjaya serta mencorak masa depan.
BACA LAGI: [VIDEO] Yang kalah kena 'stay low', Soloz anggap aksi ‘taunting’ SRG bukan isu besar
BACA LAGI: 'Tiada maklumat tentang lawan', SRG lega elak bertemu pasukan Indonesia, Filipina
Menurut Soloz, kejayaan tidak hanya hadir melalui kemenangan dalam kejohanan, tetapi juga melalui perancangan jangka panjang dan pembangunan diri di luar permainan.
Soloz, 32, yang pernah aktif dalam kejohanan kompetitif berkata, fokusnya berubah kepada pembinaan penjenamaan peribadi selepas menamatkan karier kejohanan.
Langkah berkenaan termasuk konsisten melakukan penstriman serta memanfaatkan platform media sosial bagi mengukuhkan kehadirannya sebagai figura e-sukan tanah air.
"Lepas saya habis tournament, saya fikir untuk personal branding macam streaming dan sebagainya. Itu lebih kurang ke arah personal branding lah. So apa yang SRG (SRG.OG) buat sekarang ini adalah sebagai pasukan.
"Kalau mereka dah tak bersama, kena fikir macam mana. Cuma apa yang saya buat bila waktu bersama pasukan ialah grind dan sebagainya. Kalau ada dapat hadiah kemenangan, saya simpanlah," katanya kepada Majoriti.
Mengulas pendekatan Soloz dalam mengurus pendapatan sebagai atlet e-sukan, pempengaruh berusia 32 tahun itu menekankan kepentingan berfikir jauh dan menggunakan wang untuk pembangunan diri.
"Tak salah nak berbelanja, tapi saya fikir panjang. Duit yang saya dapat hari ini bukan untuk saya enjoy, tapi untuk kembangkan sama ada dari segi personal branding atau bisnes.
"Sampai bila saya perlu kerja cari duit? Sampai satu masa, duit tu kena bekerja untuk saya," jelasnya.
Walaupun tidak lagi aktif bertanding, Soloz kini terlibat dalam beberapa perniagaan sambil mengekalkan minatnya dalam penstriman, yang disifatkan sebagai nadi utama perjalanan kariernya.
Soloz turut menyentuh mesej penting yang ingin disampaikan melalui adaptasi kisah hidupnya ke dalam sebuah filem iaitu Soloz: Game of Life termasuk bagaimana generasi muda perlu memahami cabaran sebenar dunia e-sukan.
Menurutnya, ibu bapa juga memainkan peranan besar sebagai sistem sokongan kerana dunia hari ini berbeza, kanak-kanak sudah terdedah kepada teknologi sejak usia muda.
"Orang nampak kejayaan saja. Mereka tak tahu liku-liku perjalanan tu. Dalam drama tu ditunjukkan macam mana saya bermula, macam mana mak ayah tak semua bagi keizinan.
"Mak ayah nak halang anak main game memang susah. Ini zaman teknologi. Budak darjah satu pun pakai telefon. Jadi kawal, bukan halang. Bagi pemanduan sedikit supaya mereka tak tersasar," ujarnya.
Soloz berkata, mesej utama drama tersebut lebih kepada mendidik masyarakat agar memahami keseimbangan antara minat anak dan tanggungjawab keluarga dalam membentuk hala tuju mereka.
Bagi Soloz, membina legasi bukan hanya tentang pencapaian peribadi, tetapi juga bagaimana kisah hidupnya dapat dijadikan panduan untuk generasi muda yang bercita-cita dalam dunia e-sukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
