M/V Pianoland tawar pengalaman pelayaran mewah, momen menakjubkan telusuri Selat Melaka


  • Bisnes
  • Selasa, 09 Dis 2025

Pemandangan matahari terbenam disajikan buat pengunjung kapal pelayaran M/V Piano Land.

DERUAN ombak yang menghempas lembut, alunan muzik ‘live band’ yang mendamaikan dan panorama matahari terbenam yang memukau cukup untuk menggambarkan betapa indahnya pengalaman tiga hari dua malam penulis ketika berada di atas kapal persiaran M/V Piano Land.

Terus terang, percutian di atas kapal persiaran bukanlah sesuatu yang pernah terlintas dalam hidup penulis.

Namun, seperti kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat, undangan khas daripada Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd membuka peluang untuk penulis merasai sendiri pengalaman unik yang akhirnya menanam keinginan untuk kembali belayar pada masa hadapan.

BACA LAGI: Bermula hanya guna mesin jahit nenek, pemuda bangunkan bisnes pakaian senaman bernilai lebih RM5 bilion

BACA LAGI: 'Surau cantik, selesa macam rumah,' ruang solat di stesen minyak R&R Tanjung Malim beri impak positif kepada bisnes

Suasana M/V Piano Land pada waktu malam.

Bagi sesiapa yang pernah membayangkan suasana pelayaran seperti dalam filem Titanic, ketahuilah bahawa pengalaman berada di atas kapal persiaran nyata jauh lebih indah.

Tiupan angin laut, keluasan samudera tanpa hujung dan suasana tenang yang hanya boleh dirasai di tengah lautan menjadikan pelayaran sebuah pengalaman yang sukar dilupakan.

Biarpun ada banyak pilihan kapal pelayaran di luar sana, M/V Piano Land boleh dikatakan menepati cita rasa pelancong lokal, khususnya mereka yang beragama Islam.

Ciri-ciri mesra Muslim seperti surau yang selesa membolehkan sesiapa sahaja bercuti tanpa rasa was-was di atas kapal persiaran itu.

Keutamaan seperti makanan mesra Muslim dan kemudahan ruang solat menjadikannya antara pilihan terbaik untuk pelancong yang ingin bercuti.

Pemandangan di tengah lautan yang sukar digambarkan keindahannya.

Penulis sendiri amat teruja apabila dimaklumkan bahawa kapal persiaran tersebut menawarkan pelbagai kemudahan 'Muslim friendly'.

Tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia mencari kapal yang menyediakan makanan mesra Muslim dan M/V Piano Land muncul sebagai jawapan tepat kepada keperluan tersebut.

Dioperasikan oleh Astro Ocean Cruise, M/V Piano Land merupakan kapal persiaran mewah seberat 70,000 tan dengan kapasiti 1,760 penumpang.

Direka untuk memberikan pengalaman percutian yang selesa dan menghiburkan, kapal mewah tersebut menawarkan 880 kabin serba lengkap, pilihan makanan yang bermacam-macam varieti, persembahan teater gaya Broadway serta hiburan budaya.

Ia turut menyediakan arked beli-belah, pusat kesihatan dan pelbagai kemudahan rekreasi yang memenuhi keperluan semua lapisan umur.

Kemudahan seperti gimnasium turut disediakan.

Selain itu, kemudahan seperti kelab kanak-kanak khas, program mesra keluarga, pusat kecergasan, spa serta pelbagai kolam renang disediakan bagi melengkapkan pengalaman pelayaran yang santai dan memuaskan.

Tidak hairanlah percutian ini menjadi pengalaman yang sangat istimewa memandangkan tersebut merupakan pelayaran pertama penulis.

Antara pengalaman yang paling mengujakan di atas kapal ialah pilihan hidangannya.

Menariknya, M/V Piano Land menyediakan dua restoran utama dalam pakej percutian iaitu Lido Cafe yang menawarkan bufet dengan pelbagai pilihan dan Byland Restaurant yang menyajikan hidangan secara ‘serving’ untuk pengalaman makan yang lebih eksklusif.

Lebih menarik, kedua-dua restoran berkenaan menyediakan empat hidangan sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam dan supper.

Pelbagai jenis hidangan disediakan.

Pendek kata, perut anda pasti akan sentiasa kenyang sepanjang pelayaran.

Sebagai makluman penting kepada penumpang, segala transaksi di atas kapal menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat dan kad kredit VISA serta Mastercard turut diterima.

Selain itu, perkhidmatan pertukaran mata wang tidak disediakan sepanjang pelayaran dan Ringgit Malaysia (RM) tidak diterima.

Untuk memastikan urusan perjalanan berjalan lancar, penumpang diwajibkan membawa dokumen penting iaitu MyKad asal bagi warganegara Malaysia, MyKid atau sijil kelahiran asal bagi kanak-kanak dan pasport asal bagi pelancong asing.

Persembahan teater turut memberikan pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.

Pelayaran bersama M/V Piano Land bukan sekadar percutian namun ia adalah pengalaman spiritual, emosi dan visual yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Daripada layanan mesra, kemudahan premium, pilihan makanan yang banyak, hingga keindahan alam yang terbentang sepanjang perjalanan, semuanya bergabung menjadi memori indah yang akan penulis kenang sepanjang hayat.

Bagi anda yang mencari pengalaman bercuti yang lain daripada biasa, mendamaikan, eksklusif dan lebih dekat dengan alam, pelayaran di atas M/V Piano Land adalah pilihan yang tidak akan mengecewakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram