DUA kompleks medan selera di Petaling Jaya, Selangor iaitu medan selera Seksyen 14 dan Taman Selera Jalan Othman suatu ketika dahulu pernah menjadi nadi utama ekonomi tempatan dan menawarkan makanan enak pada harga murah.
Namun kini, kedua-dua premis berusia lebih 60 tahun yang diuruskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berdepan kemerosotan dari segi kunjungan pelanggan selain uzur dimamah usia
Masalah di kompleks medan selera Seksyen 14 cukup ketara — di bahagian bawah, sebanyak 39 gerai pasar dibiarkan kosong manakala di tingkat atas pula, kebanyakan gerai makanan sudah ditutup.
BACA LAGI: Kerajaan perhalusi mekanisme subsidi e-hailing, penjimatan BUDI95 disalur semula kepada STR dan SARA
BACA LAGI: Pakej 'book now, stay later' di The Valley Ipoh, glamping Ulu Cheka Jerantut menanti di SKCCM Penang

Lokman berpendapatan kadar sewa bukan isu namun ketiadaan pelanggan di medan selera Seksyen 14, menjadi masalah kepadanya. — The Star
Bagi peniaga yang masih bertahan, kadar sewa serendah RM200 sebulan menjadi penyelamat, namun kekurangan pelanggan menjadikan perniagaan mereka semakin tenat.
Lokman Musa, 30, yang mengoperasikan Gerai Minuman Abang Mus selepas mengambil alih daripada bapanya, memberitahu bahawa sewa bukan isu namun ketiadaan pelanggan yang menjadi masalah kepadanya.
Ketika jualannya baik, Lokman mampu meraih sekitar RM300 hasil penjualan minuman serta hidangan ringkas seperti roti bakar dan telur separuh masak.
Beliau berkata, abangnya pernah membuka gerai nasi ayam di situ namun hanya mampu bertahan selama empat bulan.
Masalah di kompleks itu bukan sekadar kekurangan pelanggan, tetapi juga dari segi penyelenggaraan.
Nirmala Narayanan, 65, yang menjual masakan India seperti tose, idli dan kari, mengeluh mengenai keadaan kebersihan yang semakin teruk.
“Banyak lot kosong dan kami tidak tahu apa fungsinya. Masalah mula timbul bila ada serangga perosak berkeliaran,” katanya.

Nirmala dan Vasudevan di gerai makanan mereka di medan selera Seksyen 14. — The Star
Beliau mencadangkan MBPJ menutup sementara kompleks itu selama satu ke dua hari untuk kerja pembersihan menyeluruh.
Nirmala juga memberitahu dia mendapat maklum balas daripada pelanggan yang mengadu kekurangan tempat letak kereta, walaupun kawasan tersebut mempunyai parkir yang banyak termasuk bangunan bertingkat milik MBPJ serta tempat letak kereta di pusat beli-belah berhampiran.
Anak saudaranya, BS Vasudevan, 50, yang membantunya di gerai, meluahkan rasa kecewa yang dikongsi ramai peniaga lain.
Apabila mereka cuba menyewa lot kosong bersebelahan, MBPJ memaklumkan bahawa lot tersebut sudah ditempah dan disewa.
Situasi itu menimbulkan syak wasangka kononnya lot tersebut digunakan sebagai stor murah, sekali gus menutup peluang kepada peniaga baharu yang benar-benar mahu berniaga.
Vasudevan juga mempersoalkan keputusan MBPJ membenarkan trak makanan beroperasi di luar kompleks, sedangkan banyak ruang kosong masih tidak digunakan di dalam.
“MBPJ sepatutnya menggalakkan lebih banyak aktiviti di dalam kompleks supaya orang ramai datang,” katanya.

Nor Aishah (kanan) dan suaminya, Faizal mengusahakan kedai jahit Aishah Astana di medan selera Seksyen 14. — The Star
Di tingkat bawah, masalah penyelenggaraan turut menjejaskan perniagaan bukan makanan.
Pasangan suami isteri, Faizal Azmi, 40, dan Nor Aishah Adnan, 34, yang mengusahakan kedai jahit pakaian Aishah Astana, berkata kompleks itu berdepan masalah aksesibiliti.
“Pelanggan kami ramai yang sudah berusia, dan ada yang tak mampu naik atau turun tangga,” kata Aishah.
Mereka terpaksa menghantar pakaian terus ke kereta pelanggan di luar bangunan, menunjukkan keperluan mendesak untuk kerja naik taraf yang lebih mesra pengguna.
Di sebalik suasana muram itu, masih ada beberapa perniagaan yang terus bertahan.
Yap Shee Chan, 60, yang menguruskan gerai minuman 'Ah Sing' peninggalan bapa mentuanya, mengakui wujud perubahan budaya.
“Anak muda sekarang lebih suka ke kafe moden daripada pasar lama seperti ini,” katanya.
Walaupun perniagaan agak perlahan, Yap memilih untuk terus kekal.
“Anak-anak saya semua sudah bekerja, jadi inilah yang saya mampu lakukan,” katanya.

Sebuah trak makanan beroperasi berdekatan dengan pintu masuk ke medan selera Seksyen 14. — The Star
Bagaimanapun bagi Haleel Rahuman Zainudin, 63, pemilik gerai Penang Pohpiah Basah, dia mengakui tidak begitu terjejas dengan keadaan tersebut.
Dia memperoleh pelanggan dengan menjual antara 200 hingga 300 popia basah berharga RM1.60 setiap hari, malah jumlah itu boleh meningkat tiga kali ganda pada bulan Ramadan.
Haleel, yang mengambil alih perniagaan daripada pak ciknya pada tahun 1980-an, kekal fokus pada kualiti popia yang dihasilkan.
Sementara itu, gerai Aniess Kitchen pula menarik pelanggan khusus iaitu pekerja syif malam dan penggemar hidangan awal pagi seperti ubi rebus dan laksa Johor pada hujung minggu.
Gerai itu diusahakan oleh Siti Rohaniah Mohd Taib, 58, bersama dua rakannya, Jamal Aripin, 63, dan Katrina G, 65, yang dibuka seawall pukul 4 pagi.
Siti Rohaniah menjelaskan cabaran utama mereka ialah larangan pengambilan pekerja asing di medan selera bawah pengurusan majlis perbandaran.
“Susah nak cari orang tempatan nak kerja. Nasib baik ada kawan-kawan yang tolong,” katanya, sambil menyifatkan agak pelik apabila restoran dibenarkan mengambil pekerja asing sedangkan mereka tidak.

Aminah Stapa menjalankan perniagaan menjual nasi campur di Taman Selera Jalan Othman. — The Star
Sementara itu, di Taman Selera Jalan Othman yang mempunyai 52 lot, seorang pengusaha nasi campur, Aminah Stapa yang sudah menjalankan bisnes itu selama 30 tahun mengakui walaupun hanya membayar sewa RM160 sebulan, perniagaannya jatuh merudum selepas pandemik Covid-19.
Wanita berusia 66 tahun itu percaya pelanggan kini mempunyai terlalu banyak pilihan di luar kompleks.
Beliau mengakui MBPJ pernah membaiki beberapa kemudahan seperti kipas dan kebocoran, namun keadaan keseluruhan masih tidak berubah.
Berbeza dengan suasana suram di dalam kompleks, perniagaan di luar temboknya semakin rancak.
Lingeswaran Loganathan, 65, yang menjual kacang putih di luar kompleks Seksyen 14, berkata, perniagaannya lancar kerana dikunjungi pelanggan yang menganggap kompleks itu 'gelap dan suram'.
Pandangan sama dikongsi oleh pengusaha trak makanan, A. Ashraf, yang berniaga berdekatan dengan kadar sewa tahunan RM3,000, hanya sedikit lebih tinggi berbanding peniaga dalam kompleks.

Taman Selera Jalan Othman mula beroperasi sejak tahun 1960-an. — The Star
Dia beranggapan bisnesnya mungkin akan ditutup jika dia berniaga di dalam kompleks berkenaan.
“Medan selera itu tak dijaga dengan baik dan tiada suasana meriah. Walaupun jualan saya menurun selepas pandemik, saya masih menerima pelanggan yang sanggup beratur,” katanya.
Ashraf berseloroh, “Dalam dunia perniagaan, ada dua perkara penting — keterlihatan (visibility) dan kemeriahan (vibrancy)".
Dalam pada itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon, mengakui cabaran yang dihadapi para peniaga terbabit.
Beliau membuat teguran agar peniaga lain tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberi.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa MBPJ melakukan pemeriksaan ke atas gerai sebanyak lapan kali sebulan dan tidak akan teragak-agak untuk membatalkan sewaan bagi penyewa yang menggunakan lot tersebut semata-mata sebagai stor.
Beliau turut menjelaskan bahawa jadual pembersihan dijalankan secara berkala dengan Jabatan Kesihatan bagi memantau kawalan makhluk perosak dengan penyewa bertanggungjawab memastikan kebersihan lot masing-masing.
Bagi meningkatkan kehadiran pelanggan, Mohamad Zahri menggalakkan peniaga menyewa dua lot bersebelahan serta menawarkan permohonan terus tanpa temu duga.
Selain itu, MBPJ turut membantu peniaga meningkatkan keupayaan mereka melalui kelas keusahawanan percuma yang diadakan tiga kali setahun, merangkumi topik seperti pemasaran dalam talian dan kemahiran pengurusan perniagaan.
Paling penting, beliau turut memberi jaminan bahawa satu sesi libat urus bersama peniaga daripada kedua-dua medan selera akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian bersama terhadap semua isu yang dibangkitkan. — The Star/ AIDA AHMAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
