KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil meluahkan rasa kecewa selepas menerima kata-kata kesat daripada penyokong skuad Jang terhadap keluarganya susulan kekalahan pasukan itu kepada Melaka FC (MFC) di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu.
Situasi itu tular di media sosial mencetuskan pelbagai persepsi dan pandangan berbeza dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Insiden berkenaan dikatakan berlaku beberapa minit selepas perlawanan berakhir apabila Nidzam dilihat bertegang urat dengan penyokong di tepi stadium sebelum dileraikan oleh pegawai pasukan dan petugas.
BACA LAGI: Rasa macam kena campak bawah bas — Mo Salah
BACA LAGI: Bukan hanya Jairo, 2 lagi bekas striker JDT tak kalis kritikan walau tajam depan gol
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada Ahad, Nidzam berkata, dia cuba berkomunikasi dengan penyokong berkenaan selepas kekalahan, namun seorang lelaki telah melontarkan kata-kata kesat terhadap keluarganya.
"Saya boleh menerima kritikan tetapi jika kata-kata kesat dan makian terhadap keluarga dan ibu bapa saya adalah sangat melampau.
"Profesionally, saya seorang jurulatih namun saya juga seorang suami, bapa dan anak, jangan normalise-kan makian di depan anak-anak kecil kerana ia akan jadi ikutan negatif.
"Saya terbuka tentang pendapat dan kritikan tetapi makian terhadap keluarga dan ibu bapa perlu dihentikan," katanya.
Nidzam menegaskan, dia terbuka kepada sebarang pandangan atau kritikan berkaitan taktikal dan teknikal pasukan namun kejian yang melibatkan keluarga adalah tidak boleh diterima.
Tular di media sosial sebelum ini menunjukkan Nidzam berdepan ketegangan dengan penyokong NSFC yang dipercayai kecewa dengan prestasi skuad Jang.
Skuad Jang gagal meraih kemenangan sejak menewaskan PDRM FC dalam saingan Liga Super pada 25 Oktober lalu.
Selepas itu, NSFC hanya mencatat keputusan seri 2-2 menentang DPMM FC pada 2 November dan 1-1 menentang Terengganu FC pada 22 November, sekali gus kini menghuni tangga keenam liga dengan 13 mata selepas 10 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
