SETIAP kejayaan pastinya bermula daripada langkah kecil.
Begitu juga dengan perjalanan pemuda dari Birmingham, England, United Kingdom (UK), Ben Francis yang kini meneraju perniagaan bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion)
Asalnya hanyalah sekadar hobinya bersama rakan-rakan terhadap dunia angkat berat dan kecergasan.
BACA LAGI: Dari manga ke anime, Osamu Tezuka sosok tunjang industri animasi di Jepun

Ben memulakan perniagaannya di kala usia masih muda. — Agensi
Dari penghantar piza ke pengasas jenama global
Siapa sangka jiwanya dalam bidang keusahawanan tersemat dalam dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Pada usia 19 tahun, Ben aktif bekerja sambilan sebagai penghantar piza sambil menjalani kehidupan seorang pelajar.
Disebabkan terlalu minat dalam dunia gim, tercetuslah ideanya untuk menubuhkan syarikat menjual pakaian senaman yang lebih selesa dan bergaya.
Pada 2012, Ben bersama rakannya mengambil langkah berani untuk membangunkan syarikat yang diberi nama Gymshark.
Dengan berbekalkan mesin jahit milik neneknya, Ben mula menghasilkan rekaan pakaian senamannya sendiri di garaj rumah keluarganya.
Tiada dana dan pelaburan besar, lelaki yang kini berusia 32 tahun itu menggunakan strategi dropship dengan menjual produknya tanpa menyimpan stok.

Mesin jahit peninggalan neneknya menjadi permulaan setiap rekaan pakaian yang dihasilkan. — Agensi
Laman web Gymshark juga dicipta untuk mempromosikan pelbagai suplemen kecergasan, dan setiap pesanan dihantar terus oleh pembekal pihak ketiga.
Dua bulan pertama tiada satu pun pesanan diterima, namun pesanan pertama yang diterima menjadi titik tolak perjalanan Gymshark.
Tidak berpuas hati dengan rekaan sedia ada yang longgar dan terlihat biasa, Ben mengubah rekaan menghasilkan pakaian yang sesuai dengan citarasa anak muda iaitu ringan dan ketat.
Dengan bantuan mesin jahit dan alat cetakan skrin, semua baju pertama Gymshark dijahit sendiri oleh Ben.
Strategi pemasaran Gymshark dijalanlan secara tidak sengaja.
Ben dan rakan-rakan mula menghantar pakaian kepada atlet bina badan idola mereka seperti Lex Griffin, Matt Ogus dan Chris Lavado.
Tanpa disangka, para atlet ini meminati produk tersebut dan mula memakainya serta berkongsi di media sosial.
Pada Mei 2013, Gymshark tampil buat pertama kali di pameran BodyPower Expo, Birmingham.
Di acara itulah mereka memperkenalkan rekaan pakaian pertama, luxe tracksuit yang benar-benar mengubah rentak perniagaan.

Pakaian senamanya direka dengan berkualiti dan mengikut perubahan fesyen semasa. — Agensi
Dalam masa 30 minit selepas pelancaran, jualannya mencecah £30,000 (RM164,552).
Selepas kejayaan besar itu, Gymshark terus berkembang pesat.
Jenama itu bukan sahaja memperkenalkan pakaian lelaki, tetapi turut melancarkan rangkaian wanita seperti Flex, Vital dan Adapt yang kemudiannya menjadi produk pilihan ramai.
Gymshark juga menukar cara berinteraksi dengan peminat, daripada sekadar menyertai ekspo kepada menganjurkan acara komuniti yang menghimpunkan peminat dan atlet dari seluruh dunia.
Bermula di Birmingham, acara itu berkembang ke Dublin, Ireland; Toronto, Kanada; Frankfurt, Jerman dan Amsterdam, Netherlands.
Kemuncak pencapaian mereka tiba pada Oktober 2022 apabila Gymshark membuka kedai pertama di Regent Street, London.
Ia bukan sekadar kedai pakaian, tetapi ruang interaktif untuk komuniti kecergasan berkumpul, bersenam dan berinspirasi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
