THAILAND melancarkan serangan udara di sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja selepas kedua-dua negara saling menuduh satu sama lain melanggar proses gencatan senjata yang dibantu pihak Malaysia.
Sekurang-kurangnya seorang askar Thailand maut, manakala empat lagi cedera dalam pertempuran yang meletus di sekitar dua kawasan di Ubon Ratchathani, menurut kenyataan tentera Thailand.
“Kini pihak Thailand mula menggunakan pesawat untuk menyerang sasaran ketenteraan di beberapa kawasan,” katanya.
BACA LAGI: Selesaikan konflik Kemboja-Thailand, PM Anwar calon paling layak Hadiah Keamanan Nobel
BACA LAGI: VIDEO] Tak sampai 24 jam gencatan senjata, Thailand tuduh Kemboja langgar perjanjian
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja pula mendakwa serangan itu berlaku susulan tindakan provokatif Thailand dalam beberapa hari kebelakangan dan menegaskan tentera Kemboja tidak membalas.
Tentera Thailand menambah bahawa pihak Kemboja melepaskan roket BM-21 ke arah kawasan awam Thailand, namun tiada laporan mengenai korban.
Lebih 385,000 orang awam di empat daerah sempadan sedang dipindahkan, dengan lebih 35,000 telah ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
Pertikaian sempadan itu pernah meletus menjadi konflik lima hari pada bulan Julai lalu sebelum perjanjian gencatan senjata diuruskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump termasuk penandatanganan perjanjian damai di Kuala Lumpur pada Oktober.
Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan lebih 300,000 terpaksa dipindahkan ketika itu, dengan kedua-dua negara saling berbalas roket dan tembakan artileri.

Thailand telah melancarkan serangan udara ke atas Kemboja.
Bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, bapa kepada Perdana Menteri ketika ini Hun Manet, menyifatkan tentera Thailand sebagai 'penceroboh' yang cuba mencetuskan tindak balas sambil menggesa pasukan Kemboja untuk bertahan.
“Garis merah untuk membalas sudah ditetapkan. Saya menggesa komander di semua peringkat mendidik pegawai dan askar dengan sewajarnya,” katanya di Facebook.
Pertikaian wilayah antara Thailand dan Kemboja telah berlanjutan lebih satu abad di sepanjang sempadan darat mencecah 817 kilometer (508 batu), yang mula dipetakan oleh Perancis pada 1907 ketika Kemboja berada di bawah jajahan.
Ketegangan itu kadangkala meletus menjadi pertempuran kecil termasuk serangan artileri pada 2011 walaupun terdapat beberapa usaha menyelesaikan tuntutan bertindih secara aman.
Susulan ketegangan terbaru ini, Anwar menyuarakan kebimbangan terhadap pertembungan bersenjata yang kembali tercetus.

Anwar (kiri) dan Donald Trump (kanan) menjadi saksi perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja Oktober lalu.
Beliau menggesa kedua-dua negara anggota ASEAN itu meredakan ketegangan dan kembali kepada rundingan.
“Saya amat bimbang dengan laporan mengenai pertempuran bersenjata antara pasukan Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan. Saya ingin merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh atau cedera.
"Pertempuran berulang ini berisiko menjejaskan usaha menstabilkan hubungan antara dua jiran serantau. Thailand dan Kemboja merupakan rakan rapat Malaysia serta anggota penting ASEAN.
"Kami menyeru kedua-dua pihak mengekalkan kawalan diri, membuka saluran komunikasi dan memanfaatkan mekanisme yang sedia ada. Malaysia bersedia menyokong sebarang langkah yang dapat memulihkan ketenangan dan mengelakkan insiden lanjut.
“Keutamaan segera adalah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, dan kembali ke landasan diplomatik yang disokong undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan ASEAN,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
