Bukan yang pertama, pengguna bongkar ada 19 kenderaan lain jadi mangsa stesen isi petrol bercampur air


  • Massa
  • Isnin, 08 Dis 2025

Gambar dimuat naik pengguna tersebut di aplikasi laman Facebook.

SEORANG pengguna media sosial berkongsi pengalaman cemas apabila kereta isterinya terpaksa 'berkampung' di bengkel selama tiga minggu selepas didapati minyak yang diisi di sebuah stesen minyak bercampur air dipercayai berpunca daripada kesilapan pihak stesen tersebut.

Menurutnya yang dikenali sebagai Wan Mus itu, pengalaman tersebut menyebabkan dia kini lebih berhati-hati setiap kali mengisi minyak termasuk memeriksa warna nozel berulang kali bagi mengelakkan kekeliruan.

"Masuk bengkel saja, pomen terus tanya ‘confirm isi minyak kuning? Bukan diesel?'. Nasib baik saya selalu simpan resit. Dalam resit jelas tertera RON95,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Jojo layan Mia bak 'princess' sepanjang di gelanggang, keluarga Ghazali rebut 2 gelaran juara di Stadium Titiwangsa

BACA LAGI: Seorang askar Thai maut, tegas PM Anwar, Thailand-Kemboja perlu kembali berunding lepas ketegangan di sempadan memuncak semula

Lebih mengejutkan, dia dimaklumkan bahawa lebih 19 kereta lain turut mengalami kerosakan selepas mengisi minyak di stesen sama dan semuanya sedang membuat tuntutan kepada pemilik stesen minyak tersebut.

Pada masa sama, dia turut berkongsi tanda-tanda awal minyak bercampur air, antaranya kereta mula tersengguk (jerking) dan hilang kuasa sebaik sahaja selepas diisi minyak.

Katanya lagi, sekiranya berdepan situasi tersebut, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi perkhidmatan towing melalui syarikat insurans atau bengkel terdekat serta menyimpan semua bukti seperti panggilan, mesej, gambar dan video.

"Pengguna juga perlu meminta mekanik mengesahkan dan menyimpan bukti bahawa terdapat air dalam minyak," ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, pengguna perlu segera ke stesen minyak terlibat untuk membuat tuntutan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua stesen akan bersedia membayar tuntutan dan pengguna mungkin perlu membawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna.

Sebagai peringatan, dia menasihatkan semua orang agar sentiasa menyimpan resit selepas mengisi minyak walaupun jumlah hanya beberapa ringgit.

“Kalau enjin kena cuci atau overhaul sebab minyak bercampur air, kosnya bukan murah, memang seram,” katanya.

Sebelum ini, kes sedemikian pernah dilaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 2020 dalam satu kejadian di stesen minyak sekitar Besut, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram