Remaja sakit jantung dari Kedah nikmati peluang kedua hidup, syukur terima bantuan tabung perubatan Star Foundation


  • Massa
  • Sabtu, 06 Dis 2025

Chiet memiliki peluang kedua untuk ke sekolah, bermain bola sepak dan mengejar impiannya menjadi seorang jurutera.

SAAT Chiet A/L Ailai ditolak masuk ke bilik pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2 September 2025, keluarga remaja itu menunggu di luar dengan penuh debaran.

Mereka memanjatkan doa agar pembedahan itu dipermudahkan. Berjam-jam lamanya, ayah dan adik-beradiknya terus menggenggam harapan agar pembedahan tersebut berjalan lancar.

Apabila doktor akhirnya memaklumkan bahawa prosedur itu berjaya, seluruh keluarga menarik nafas lega.

BACA LAGI: Impian mahu jadi jurutera, anak yatim dari Kedah perlu RM50,000 rawat penyakit jantung jarang jumpa

BACA LAGI: Star Foundation berjaya kumpul RM50,000, derma rakyat Malaysia beri peluang remaja Kedah jalani pembedahan di IJN

“Syukur, lega, gembira… semuanya bercampur. Selepas penantian panjang, kami hanya mampu bersyukur melihat dia selamat,” imbas bapanya.

Dilahirkan di Sik, Kedah, Chiet berdepan pelbagai cabaran kesihatan sejak lahir. 

Hanya enam hari selepas dilahirkan, dia disahkan menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA), sejenis masalah jantung kongenital yang jarang berlaku. 

Keadaan serius itu menyaksikan dua arteri utama iaitu aorta dan arteri pulmonari yang membawa darah keluar dari jantung bertukar tempat. 

Dia menjalani pembedahan berisiko tinggi 'arterial switch' di Pulau Pinang, yang membolehkannya membesar seperti kanak-kanak lain.

Meskipun sakit, Chiet meneruskan kehidupan sebagai pelajar biasa.

Remaja ceria berusia 15 tahun itu meminati bola sepak dan bercita-cita menjadi jurutera mekanikal. 

Namun pada Februari lalu, ketika pemeriksaan rutin di Hospital Sultanah Bahiyah, doktor mengesan supravalvular neo-aortic stenosis yang membahayakan.

Chiet menjalani pembedahan di IJN dengan kos keseluruhan pembedahan berjumlah RM80,000. — Gambar hiasan 

Keadaan yang jarang berlaku itu mengakibatkan penyempitan pada bahagian aorta di atas injap jantung, yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Berita itu amat meresahkan ayahnya, Ailai A/L Eperoi, yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan sebagai petani kecil. 

Abang sulungnya, Somrath, 26, menyumbang RM500 hasil kerja buruh, manakala kakaknya, Junytaa, 22, menjaga adik mereka di rumah. 

Sejak ibu mereka meninggal dunia pada 2020, tiga beradik itu banyak bergantung antara satu sama lain.

Kos pembedahan untuk menyelamatkan nyawa Chiet mencecah RM80,000, jauh melepasi kemampuan keluarga.

Bantuan bagaimanapun hadir apabila Star Foundation, melalui Medical Fund Programme, melancarkan kempen untuk mengumpul RM50,000, manakala sebuah lagi NGO tampil menampung baki RM30,000.

Dalam beberapa hari, rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan luar biasa. Sumbangan besar dan kecil mencurah masuk, dan menjelang pertengahan Julai, sasaran berjaya dicapai.

“Sokongan daripada Star Foundation dan orang ramai sangat bermakna kepada kami,” kata kakaknya, Junytaa. 

“Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi memberi kami kekuatan untuk terus bertahan,” tambahnya.

Bercakap melalui telefon dari rumah ketika menjalani pemulihan rawatan, Chiet meluahkan rasa syukur tidak terhingga.

“Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan keadaan saya semakin baik,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik Kanan IJN, Dato’ Dr Ahmad Sallehuddin, yang melakukan pembedahan itu berkata, prosedur tersebut berjalan dengan baik.

“Chiet dijangka menikmati kualiti hidup yang jauh lebih baik selepas ini,” katanya.

Hari ini, keluarga memandangnya dengan harapan baharu.

“Hanya satu harapan kami agar dia membesar sihat, kuat dan terus mengejar cita-citanya,” kata kakaknya. 

“Kepada semua yang menyumbang, mendoakan atau memberi sokongan, kami amat berterima kasih. Terima kasih kerana memberinya peluang kedua untuk hidup,” katanya.

Kini, Chiet kembali memiliki peluang kedua untuk ke sekolah, bermain bola sepak dan mengejar impiannya menjadi seorang jurutera.

Bagi setiap penyumbang, kejayaan itu adalah milik anda juga. Kebaikan anda menjadi pemangkin perubahan.

Star Foundation ialah cabang amal Star Media Group. Sejak 2016, Medical Fund Programme menyediakan bantuan perubatan penting kepada individu kurang berkemampuan yang menghidap penyakit kronik.

Untuk maklumat lanjut atau membuat sumbangan, layari starfoundation.com.my atau e-mel [email protected]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram