Dua wakil UPSI bawa nama Malaysia selepas cemerlang di AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025


  • Massa
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Syahrizal (tengah) dan Nurin (lima dari kanan) bergambar bersama tenaga pengajar serta penyokongnya pada AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 di AEON Mall Shah Alam

REPUTASI Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di peringkat kebangsaan terus kukuh apabila seorang pelajarnya tampil cemerlang dalam AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 yang diadakan di AEON Mall Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Muhammad Syahrizal Theng Abdullah dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) meraih johan, manakala seorang lagi wakil dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Nurin Dayana Alias mendapat tempat kelima.

Pertandingan tersebut melibatkan 14 peserta bagi pusingan akhir melibatkan para pelajar universiti dari seluruh negara.

BACA LAGI: Tunku Azizah bakal rasmikan BITF 2025, angkat martabat tekstil bukan sekadar warisan budaya

BACA LAGI: Pencabar utama tukar taktik, Rexy tingkat sasaran emas Sukan SEA

14 finalis AEON 1% Club Japanese Speech Contest 2025 bergambar kenangan bersama penganjur di AEON Mall Shah Alam

Lebih manis, Syahrizal akan mewakili Malaysia untuk pertandingan serupa peringkat Asia dengan ia akan diadakan di Jepun.

Dalam perkembangan lain, UPSI turut menerima satu lagi pengiktirafan melalui pendidiknya, Norhana Md Salleh dari Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR) FBK yang diangkat sebagai Pembimbing Terbaik pertandingan itu.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff meluahkan rasa bangga atas pencapaian yang dianggap sebagai bukti pelajar UPSI boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan, tetapi turut memiliki penguasaan bahasa asing, keberanian, serta keupayaan berkomunikasi di peringkat antarabangsa.

“Apabila pelajar kita diangkat untuk mewakili Malaysia ke Jepun, ia bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi satu pencapaian yang mengukuhkan jenama UPSI di mata dunia. Mereka membawa nama universiti, dan pada masa sama membawa nama negara," katanya.

Dalam masa yang sama, Md Amin turut menzahirkan penghargaan terhadap Norhana yang membantu dua pelajar UPSI tampil cemerlang di pertandingan tersebut.

Norhana akan bersama Syahrizal ke Jepun untuk meneruskan perjuangan mereka dalam kejohanan tersebut.

“Pengiktirafan kepada tenaga pengajar UPSI membuktikan bahawa kejayaan pelajar kita adalah hasil sokongan, kepakaran dan komitmen para pensyarah. Inilah ekosistem kecemerlangan yang sentiasa kami perkukuhkan di UPSI.

“UPSI akan terus menyokong segala usaha yang membangunkan potensi mahasiswa. Saya yakin ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang bakal dicipta,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram