Tunku Azizah bakal rasmikan BITF 2025, angkat martabat tekstil bukan sekadar warisan budaya


  • Gaya
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual menghadiri program berkaitan industri tekstil serta budaya di Kuching pada 7 dan 8 Disember.

WARISAN tekstil Borneo dan rantau sekitarnya akan diraikan dalam sebuah festival khas yang bakal disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi sulung Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025 yang berlangsung pada Ahad dan Isnin akan memberi tumpuan kepada keunggulan seni serta potensi ekonomi tekstil dan seni tenunan di seluruh rantau ini.

"BITF 2025 menampilkan tekstil bukan hanya sebagai warisan budaya, tetapi sebagai pemangkin inovasi, kelestarian dan pertumbuhan sosioekonomi," katanya pada sidang media di Kuching, Sarawak pada Jumaat.

BACA LAGI: Tidur berhimpit Gucci, jurugambar Jepun rakam realiti ekstrem 'fashion hoarder'

BACA LAGI: Presiden Miss Grand International buat aduan jenayah terhadap Fatima Bosch, dakwa sebar fitnah berulang kali

Abdul Karim berkata, Tunku Azizah dijadual menyampaikan titah ucaptama diraja bertajuk 'The Future of Our Heritage' bagi menentukan hala tuju masa depan seni tradisional dalam dunia moden, berdasarkan pengalaman luas baginda memartabatkan Tenunan Pahang Diraja (Tenun Pahang).

Menurutnya lagi, festival tersebut akan menampilkan forum dan sesi panel bersama penceramah daripada sektor kepimpinan kreatif, kewangan serta kelestarian korporat.

Turut diadakan ialah kelas mahir batik dan keringkam (sulaman tradisional Melayu Sarawak); demonstrasi tenunan pua kumbu Iban dan songket; pertunjukan fesyen oleh pereka muda dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); serta persembahan tarian kebudayaan.

Selain itu, Abdul Karim berkata, Tunku Azizah turut akan menghadiri program 'Sense of Malaysia' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Ahad, bersempena BITF 2025.

Abdul Karim (tengah) dan Datuk Snowdan Lawan (dua dari kiri) pada sidang media Borneo International Textile Festival 2025. — Agensi

Acara berkenaan menghimpunkan para penggiat seni, penjaga warisan dan profesional kreatif dari seluruh negara untuk mempamerkan kehalusan seni kraf tekstil tradisional dan kontemporari Malaysia.

Pada hari yang sama, Tunku Azizah akan merasmikan pameran tekstil tradisional di Muzium Budaya Borneo di Kuching. 

Pameran yang berlangsung hingga 3 Mac itu akan mengetengahkan amalan tenunan tradisional, motif warisan, simbolisme tekstil, tradisi sulaman serta kehalusan kerja tangan melalui paparan tekstil tradisional, sulaman dan artifak budaya berkaitan dari Malaysia dan rantau ini.

"Kami sedang membangunkan sebuah ekosistem untuk menyokong mereka yang terlibat dalam tenunan dan tekstil tradisional melalui acara serta pameran seperti BITF 2025.

"Ini sebahagian daripada warisan budaya kita dan kita mesti memelihara serta mempromosikannya," kata Abdul Karim. — The Star/SHARON LING

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram