Dulu beratur demi bantuan makanan, ramai tak tahu kisah pengasas WhatsApp


  • Bisnes
  • Rabu, 03 Dis 2025

Perjalanan Jan Koum yang dahulunya mengharapkan bantuan kerajaan sebelum menghasilkan aplikasi WhatsApp. — Agensi

DILAHIRKAN di sebuah kampung kecil di Ukraine, jauh dari kemudahan moden bahkan sukar mendapatkan bekalan air atau elektrik.

Siapa sangka itulah permulaan hidup Jan Koum, pengasas bersama aplikasi WhatsApp yang kini mempunyai lebih tiga bilion penggunanya di seluruh dunia.

Menyelami serba sedikit kisahnya, Koum ternyata membesar dalam suasana penuh tekanan ketika berlakunya konflik politik melibatkan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR).

BACA LAGI: Import lembu Australia, Mersing mula jalan projek hab tenusu skala besar cecah RM80 juta

BACA LAGI: Pernah bantu ayah jual tepi jalan, legasi Fateh Watches sambung julang budaya Malaysia, perkenal jam untuk wanita

Koum juga digelar jutawan dan taikun dalam bidang teknologi. — Agensi

Pengalaman hidup yang pahit itu secara tidak langsung membentuk pandangannya yang tegas tentang hak mendapat privasi.

"Saya membesar dalam kalangan masyarakat di mana segala anda lakukan sudah didengar, direkod dan dilaporkan.

"Tiada siapa yang sepatutnya mempunyai hak untuk mencuri dengar," katanya.

Selepas runtuhnya komunisme di Eropah Timur, ibunya memutuskan untuk mereka berpindah dan memulakan hidup baharu di Amerika Syarikat (AS).

Namun, kehidupan baharu mereka di Mountain View, California, AS juga tidak semudah disangka.

Lebih menyedihkan apabila ibunya didiagnos penyakit kanser sejurus tiba di negara itu sehingga mereka terpaksa bergantung pada bantuan kewangan kerajaan.

Menjalani kehidupan serba sederhana di sebuah pangsapuri kecil, mereka juga bergantung kepada baucar makanan dan bantuan kebajikan.

Ibunya bekerja sebagai pengasuh, manakala Koum pula mengambil upah sebagai tukang cuci di pasar raya untuk menambah pendapatan.

Koum (kanan) memulakan perjalanan baharu di AS selepas berpindah keluar dari Ukraine. — Agensi

Buku terpakai dan perpustakaan jadi universiti pertama

Tanpa wang untuk belajar di universiti bahkan mengikuti kursus teknologi yang mahal, Koum hanya bergantung sepenuhnya pada buku-buku terpakai dan sumber di perpustakaan awam.

Dari situlah beliau mula belajar tentang teknologi sistem komunikasi.

Minatnya terhadap penghasilan sistem keselamatan data sekali gus membawa dirinya ke perusahaan internet multinasional terkemuka, Yahoo dan berkhidmat sebagai jurutera infrastruktur selama hampir sedekad.

Ia juga merupakan detik pertemuannya dengan rakan kongsi perniagaannya, Brian Acton.

Revolusi rangkaian komunikasi

Pada 2009, selepas meninggalkan Yahoo, Koum membeli sebuah telefon pintar berjenama Apple iaitu iPhone.

Sejak itulah tercetusnya ilham yang mengubah hidupnya 360 darjah.

Koum bersama Brian (kiri) membangunkan aplikasi WhatsApp bersama pada 2009. — Agensi

Beliau menyedari teknologi aplikasi mudah alih bakal berkembang pesat dan melihat peluang besar dalam pasaran.

Satu aplikasi ringkas dihasilkan yang menawarkan kemudahan menghantar, menerima mesej, selamat, bebas iklan serta boleh digunakan merentas negara tanpa caj.

Dalam masa singkat, WhatsApp berkembang menjadi platform komunikasi global.

WhatsApp secara tidak langsung melakar sejarah apabila platform tersebut dibeli Facebook dengan nilai sebanyak AS$19 bilion (RM78 bilion).

Lebih menyentuh hati, beliau menandatangani dokumen perjanjian itu di hadapan bangunan pejabat kebajikan yang merupakan tempat yang pernah menjadi saksinya beratur demi mendapatkan bantuan makanan.

Koum bagaimanapun pernah mendedahkan bahawa dirinya tidak gemar digelar sebagai usahawan meskipun sudah membangunkan syarikat yang berjaya.

Beliau berpendapat perkataan keusahawanan adalah untuk individu yang mencipta perniagaan menghasilkan wang semata.

"Seperti yang saya faham, usahawan merupakan orang yang mencipta syarikat dengan tugas untuk menjana wang.

"Tetapi, saya bukan seorang daripada mereka. Saya mulakan WhatsApp untuk membina produk.

"Saya tidak mahu mencipta syarikat di sekelilingnya, matlamatnya bukan untuk mendapatkan pendapatan," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram