JOHOR kini melakar langkah penting dalam strategi keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan projek Jemaluang Dairy Valley (JDV).
JDV juga berperanan sebagai sebuah hab tenusu moden berskala besar yang bertujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap susu import.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, projek berkenaan dibangunkan bagi memperkukuh pengeluaran susu segar tempatan melalui amalan penternakan moden dan pengurusan ternakan mampan.

Rumput berkualiti tinggi digunakan sebagai dalam diet untuk lembu import di hab tenusu di Mersing. — The Star
Menurutnya, lembah tenusu seluas 275 hektar itu dibangunkan untuk memastikan kestabilan bekalan susu serta berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.
"Inisiatif ini selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara," katanya.
Menurutnya, Malaysia masih bergantung kepada keperluan susu import.
Namun, Zahari meyakinkan bahawa projek seperti JDV mampu mengurangkan kebergantungan itu dalam jangka panjang iaitu sehingga 20 peratus selepas hab tersebut beroperasi sepenuhnya.
JDV juga dijangka memulakan pengeluaran susu seawal Januari 2026.
Projek kerjasama antara kerajaan Negeri Johor, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Jemaluang Dairy Valley (JDV) Sdn. Bhd itu turut melibatkan pelaburan awal sebanyak RM41.3 juta dengan jumlah keseluruhan sekitar RM80 juta.

Mesin automatik yang boleh membantu memudahkan proses pemerahan susu lembu. — The Star
Bagi memastikan produktiviti jangka panjang, JDV memilih lembu kacukan dari Australia yang terkenal dengan ketahanan terhadap iklim panas.
Katanya, kesemua ternakan perlu melepasi ujian DNA A2A2 serta menunjukkan kesesuaian terhadap cuaca dan makanan tropika.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada 1,000 ekor juga sudah tiba di Pelabuhan Pasir Gudang, johor pada 1 November lalu.
JDV bagaimanapun akan menempatkan sehingga 4,000 ekor lembu apabila hab tersebut siap sepenuhnya.
Faktor kesihatan, kesuburan dan kecekapan kawanan turut diberi perhatian sebelum import dilakukan.

Setiap makanan akan ditimbang bagi memastikan lembu import diberi nutrien yang mencukupi dalam dietnya. — The Star
Bukan itu sahaja, JDV juga menyediakan kemudahan ladang ternakan bertaraf antarabangsa yang lengkap dengan sistem tempat tidur khas, teknologi penyejukan dan peralatan automasi untuk memastikan keselesaan secara optimum.
"Ladang itu beroperasi di bawah pengawasan veterinar berterusan, termasuk program vaksinasi dan akses terkawal ke kawasan ladang.
"Perlindungan kesihatan ini bagi memastikan kumpulan itu kekal bebas penyakit dan sihat," tambahnya.
Bagi mengelakkan risiko penyakit, saringan veterinar akan dilakukan dua kali iaitu di Australia dan selepas tiba di Malaysia.
Beliau berkata, JDV dijangka menghasilkan 12 juta liter susu segar dalam masa setahun.
Jelasnya, kerja pemasangan peralatan seperti sistem perahan susu automatik iaitu rotary milking parlour dan mesin lain yang dijangka siap pada Disember ini.

Pejabat utama hab JDV yang terletak di Mersing. — The Star
Rangsang ekonomi setempat, pacu agro-pelancongan
Tambahnya, JDV turut merancang pembangunan zon agro-pelancongan bagi menarik pengunjung untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi terutama di daerah Mersing, Johor.
Zahari berkata, projek itu sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta melonjakkan aktiviti perniagaan tempatan.
Kerjasama dengan universiti tempatan turut dirancang bagi tujuan penyelidikan, pembangunan teknologi dan latihan untuk petani.
Menariknya, sebuah sistem pengurusan sisa dari Itali digunakan untuk memproses najis lembu menjadi baja organik.
Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan impak alam sekitar serta menyokong keseimbangan ekologi.

Zahari memastikan setiap lembu yang diimport dari Australia melalui saringan veterinar. — The Star
"Kerajaan negeri dan Persekutuan telah memberikan sokongan melalui kelulusan, kemudahan infrastruktur dan bimbingan teknikal.
"Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan lembah tenusu ini sebagai projek moden dan mampan.
"Satu pusat latihan khusus akan diwujudkan selepas tahun ketiga beroperasi untuk membangunkan bakat tempatan," jelasnya.
Zahari bagaimanapun mengakui projek berskala besar seperti JDV turut berdepan pelbagai cabaran.
Ia termasuk penyesuaian ternakan, pembangunan infrastruktur dan memastikan bekalan makanan ternakan dapat dikekalkan secara konsisten.
Namun, perancangan teliti dan disiplin semua pihak mampu membantu mengatasi masalah tersebut.
"Visi kami adalah mewujudkan model pertanian yang mampan dan memberi manfaat kepada komuniti serta menyokong keterjaminan makanan negara," ujarnya. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
