Pesan ibu jadi penguat semangat, graduan asal kampung sempat abadi ucapan istimewa di pentas Universiti Harvard


  • Sukses
  • Selasa, 02 Dis 2025

Dr. Nadhira menjadikan ibunya (kanan) sebagai sumber inspirasi dan kekuatan sepanjang melanjutkan pengajian. — Agensi

MAMPU menjejakkan kaki ke luar negara untuk menimba ilmu pastinya menjadi satu pencapaian membanggakan.

Begitu juga dengan wanita warga Indonesia, Nadhira Nuraini Afifa yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) menerusi tajaan biasiswa Lembaga Pengurusan Dana Pendidikan (LPDP) Indonesia.

Nadhira atau lebih dikenali sebagai Dr. Nadhira yang sebelum ini melanjutkan pengajian di Fakulti Perubatan Universiti Indonesia itu juga memilih nutrisi sebagai bidang khusus ketika menuntut di Harvard.

BACA LAGI: 'Sama macam tukar pad', pakar saran tak perlu tunggu sampai 12 jam bila guna 'menstrual cup'

BACA LAGI: Tidur lena atas pangkin, taska di Itali guna teknik bunyi kicauan burung

 

 

Sepanjang tempoh pengajian, beliau ternyata sering terlibat dalam beberapa projek berkaitan pemakanan kanak-kanak terutamanya di negara yang berdepan krisis serta konflik besar.

Kejayaannya sekali lagi melakar sejarah pada majlis graduasi Harvard 2020 apabila beliau dipilih sebagai wakil pelajar untuk menyampaikan pidato.

Beliau yang kini bertugas sebagai pakar perubatan dan bergelar doktor itu turut menyentuh hati ramai selepas menceritakan perjalanannya sepanjang pengajian.

Menerusi video yang kembali tular di media sosial baru-baru ini, Dr. Nadhira sempat mengabdikan ucapan penghargaan buat ibu tercinta dalam pidatonya.

Mengakui keberadaannya sebagai pelajar asing, wanita Muslim berhijab menjadi antara cabaran buatnya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Namun, sokongan komuniti, pihak universiti serta disiplin yang konsisten membantunya mengekalkan keseimbangan mental dan prestasi pengajian.

Dr. Nadhira pada masa sama mengakui bahawa kekuatan utama turut didorong daripada ibunya.

"Mama selalu menjadi inspirasi buat saya. Dia merupakan anak bongsu daripada 11 beradik.

"Mama dilahirkan dan dibesarkan oleh seorang petani di pulau Sumatera, Indonesia.

"Anak-anak petani selalunya tidak mampu ke sekolah ketika itu," katanya.

Katanya, peluang pendidikan yang kecil itu sekali gus membuatkan ibunya terus berusaha untuk memastikan anaknya, Dr. Nadhira mendapat akses penuh ke sekolah.

Menurut Dr. Nadhira, ibunya juga tidak pernah lupa mengingatkannya bahawa anak daripada keluarga sederhana juga berhak mempunyai cita-cita besar.

"Mama mengajar saya banyak pengajaran penting dalam hidup. Bermimpilah setinggi-tingginya kerana satu-satunya batas kita adalah fikiran.

"Meskipun kurang mampu, mama berjaya membesarkan tiga anak-anaknya yang kini bergelar Master (Sarjana).

"Dia membesarkan saya daripada pelajar di desa kecil di Indonesia, kini graduan universiti kesihatan komuniti terbaik di dunia," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram