Burung kelicap bantu ekosistem ladang sawit, Enggang Tebang Mentua makin pupus akibat pemburuan haram — NEST


  • Massa
  • Isnin, 01 Dis 2025

Burung kelicap antara spesies yang membantu menjaga ekosistem di ladang sawit. — Gambar hiasan

USAHA memelihara dan memulihara hidupan liar semakin proaktif dilaksanakan bagi memastikan kelestarian biodiversiti negara terus terjaga.

Susulan pelbagai ancaman yang semakin meningkat secara tidak langsung menuntut perhatian dan tindakan segera daripada semua pihak.

Selari dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat, Ahli Pertubuhan Kelestarian Ekonomi Alam (NEST), Nurul Farisyah Mat Zaidi menjelaskan mengenai situasi terkini beberapa spesies burung di negara ini.

BACA LAGI: Jangan alpa! Anda boleh dipenjara, denda jika simpan bulu atau telur burung pungguk jelapang — BORG

BACA LAGI: Jelajah Sawit Hijau MPOGCF bakal kunjungi zon sama, 3 negeri berbeza tahun depan

Nurul Farisyah (kanan) antara ahli NEST yang bertanggungjawab menyediakan bahan penyelidikan.

Beliau yang juga bertanggungjawab dalam penulisan bahan penyelidikan organisasi itu berkata, burung Enggang Tebang Mentua (Helmeted Hornbill) antara spesies burung semakin diancam kepupusan.

Menurutnya, spesies tersebut kerap berdepan ancaman serius akibat aktiviti pemburuan haram.

"Ia banyak terancam kerana ramai inginkan paruhnya (horn), kalau dijual bernilai RM1,000.

"Antara burung lain berdepan situasi sama ialah burung Botak Upeh (Milky Stork).

"Burung ini banyak tinggal di kawasan perairan, tetapi sering diancam oleh perubahan iklim," katanya ketika ditemui Majoriti pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Melawati Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Burung Enggang Tebang Mentua yang semakin diancam kepupusan. — Gambar hiasan

Katanya, setiap burung mempunyai manfaat tersendiri termasuk membantu ekosistem pertanian seperti sawit.

Selain burung Pungguk Jelapang yang terkenal dengan kelebihannya sebagai ejen kawalan biologi semula jadi, Nurul Farisyah turut berkongsi spesies lain dengan fungsi sama.

"Burung kelicap (hummingbird Malaysia) juga membantu ekosistem dalam ladang sawit.

"Burung ini makan nektar daripada bunga dan buah kelapa sawit.

"Ia kemudian akan terbang ke pokok lain dan menyebarkan debunga sekali gus membantu pertumbuhan pokok," jelasnya.

Burung kelicap antara pemakan nektar yang membantu pertumbuhan pokok termasuk kelapa sawit. — Gambar hiasan

Katanya, spesies tersebut turut lazim ditemui di kawasan yang dipenuhi bunga dan buah seperti taman awam serta kawasan subur.

Justeru, beliau menasihati orang awam agar tidak memetik bunga sewenang-wenangnya terutama di kawasan awam kerana ia merupakan sumber makanan utama burung terbabit.

"Untuk memelihara spesies ini, kita perlu pastikan sumber makanannya tidak terjejas.

"Antara bunga yang menjadi pilihan burung ini adalah bunga raya sebab ia yang kaya dengan nektar," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram