Sistem urus hasil sawit kekal, Felda ada kaedah jika pemilik ladang meninggal dunia tanpa waris


  • Massa
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Setiap pengurusan pekerja ladang sawit di Felda perlu melalui proses melibatkan pelbagai agensi. — Gambar hiasan/The Star

KEKURANGAN pekerja dan pengurusan tanah dalam sektor perladangan sawit khususnya di kawasan pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terus menjadi antara kebimbangan dalam kalangan pemilik dan pengusaha.

Seiring perubahan demografi dan cabaran tenaga kerja semasa, pelbagai langkah diambil untuk memastikan operasi ladang kekal produktif dan urusan perwarisan dapat dijalankan secara teratur dan adil.

Mengulas lanjut, Penolong Pengarah Jabatan Kelestarian Felda, Mohamad Zulhilmi Azmi tidak menolak sektor perladangan di Malaysia termasuk di bawah Felda masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

BACA LAGI: Generasi muda tak perlu bimbang, Felda tetap bantu jika projek pertanian gagal dapat pulangan

BACA LAGI: Hanya 5 peratus rakyat tempatan di ladang, Felda akui persepsi 'gaji sama, insentif beza' cabaran tarik minat anak muda

Sistem pengurusan ladang sawit di Felda adalah berasaskan perwarisan. — Gambar hiasan/The Star

Ia berikutan kurang minat dalam kalangan pekerja tempatan untuk melakukan kerja-kerja ladang seperti mengutip buah dan mengangkut hasil.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pemilihan buruh tetap dipantau untuk memastikan bilangan pekerja mencukupi mengikut keluasan bagi ladang yang diuruskan secara langsung oleh Felda.

"Tetapi, pada masa sama kami akan tengok kategori sama ada pengurus ladang itu peneroka Felda atau milik orang luar dan hanya diuruskan oleh peneroka.

"Cuma kalau untuk menyelesaikan masalah tiada pekerja, jika nak ambil pekerja asing mungkin sedikit sukar sebab tertakluk pada undang-undang.

"Bagaimanapun pihak Felda akan sarankan kepada pengurus supaya anak-anak peneroka boleh bantu operasi di ladang.

"Kalau ada kerja-kerja lain yang boleh digantikan daripada versi manual kepada jentera pun boleh kurangkan kebergantungan tenaga manusia.

"Bukan itu sahaja, produktiviti ladang boleh dikekalkan dengan bantuan waris pemilik," katanya ketika ditemui Majoriti pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Melawati Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohamad Zulhilmi (kanan) menjelaskan tentang peranan Felda dalam menjaga kelestarian alam dan hidupan liar di Malaysia.

Bicara mengenai isu waris pula, beliau berkata, Felda akan melakukan perbincangan dan rujukan dengan teliti sekiranya pemilik ladang meninggal dunia tanpa waris.

Jelasnya, pihak Felda juga akan membuat penelitian menerusi prosedur faraid.

"Kalau berdasarkan syarak Islam, kita akan ikut susur galurnya. Kita akan cari selagi boleh serahkan pengurusan ladang itu kepada pihak yang diputuskan.

"Kalau sebatang kara kami akan lakukan mesyuarat pengurusan tanah dan dapatkan kata putus kepada pihak mana yang akan diserahkan.

"Ini juga melibatkan proses panjang dengan agensi-agensi kerajaan, pihak mahkamah, jabatan agama dan sebagainya," ujarnya.

Jelajah Sawit Hijau 2025Pelancaran Buku di Melawati Mall, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Usaha Felda dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian alam pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Melawati Mall, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. — The Star

Tambahnya, proses tersebut perlu dilakukan bagi mendapat keputusan yang tidak berat sebelah dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sementara itu, pihaknya turut giat menggalakkan generasi muda terutama daripada keluarga peneroka Felda untuk terlibat dalam bidang pertanian dan perladangan.

Pendedahan berkaitan isu waris dan tenaga kerja itu dilakukan menerusi program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram