Nenek di China fasih bahasa Melayu, sempat ulas maksud peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam', gelar diri 'Cikgu Fatimah'


  • Sukses
  • Jumaat, 28 Nov 2025

TERLETAK kira-kira 80 kilometer (km) jauhnya dari pusat bandar Beijing, China, Kampung Shaoling menjadi lokasi kunjungan seorang pencipta kandungan popular di YouTube baru-baru ini.

Perjalanan hampir dua jam menaiki kereta itu membawa pemilik akaun Husna Liang bertemu wanita warga China yang fasih berbahasa Melayu.

Menerusi video yang dikongsikan beliau menyifatkan momen terindah apabila berpeluang bertemu dan menelusuri kisah Sun Baoping atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fatimah.

BACA LAGI: Diana Danielle belajar 'small talk' di majlis, bina jaringan sosial lebih luas, bukan bual kosong

BACA LAGI: 'Ramai ibu bapa tiada common sense', staf dedah tinggal anak 3 jam berlapar dalam 'indoor playground', biar kencing sendiri

Untitled design - 5

Hadiah yang masih disimpan Cikgu Fatimah sejak 50 tahun lalu.

Wanita berusia 72 tahun itu ternyata pernah berkhidmat sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU), Beijing.

Menikmati hari-hari senjanya, Cikgu Fatimah menjalani kehidupannya kini lebih santai dengan aktiviti ringan bersama penduduk kampung selepas bersara.

Beliau turut berkesempatan berkongsi kisah dan perjalanannya sepanjang mempelajari sehingga mahir bertutur dalam bahasa Melayu.

"Itu satu cerita panjang iaitu 52 tahun yang lalu pada 1973. Sebenarnya, waktu itu saya sudah bekerja di Inner Mongolia, jauh dari Beijing.

"Jadi, Institut Bahasa-Bahasa Asing Beijing hantar seorang guru yang berbahasa Jerman.

"Beliau pergi ke sana dan menemu duga saya. Waktu saya isi borang, saya tahu saya akan belajar bahasa Jerman kalau saya diterima.

"Semuanya lancar sehingga saya sampai di sana. Tiba-tiba saya diberitahu, saya sudah dialihkan ke jurusan bahasa Melayu.

"Apa yang saya lebih pentingkan adalah boleh masuk universiti dan kalau di Beijing lebih baik.

"Ibu bapa juga sudah tahu berita saya sudah diterima belajar jurusan bahasa Melayu dan akan belajar di ibu kota, mereka sangat gembira," ceritanya.

Katanya, hubungan diplomatik antara China dan Malaysia masih belum terjalin sekali gus menyebabkan bahan pengajaran sangat terhad ketika itu.

Namun dengan usaha gigih, beliau berjaya menjadi pelajar terbaik tahun kedua dan kemudiannya berkhidmat sebagai jurubahasa untuk delegasi Malaysia pada 1975.

Lebih menyentuh hati apabila beliau masih menyimpan sebotol minyak wangi yang dihadiahkan daripada anggota rombongan Malaysia ketika bertugas sebagai penterjemah sewaktu berlangsungnya Kejohanan Jemputan Persahabatan Renang dan Terjun Antarabangsa pada 1975.

"Ini minyak wangi daripada lelaki bernama Muhammad Ismail (Malaysia), disimpan selama 50 tahun. Simpan sampai saya jumpa orang yang bagi saya hadiah ini.

"Walaupun ia (rupanya) begitu, tapi hanya saya sendiri pakai. Saya tidak bagi suami" selorohnya.

Tambahnya, Muhammad juga pernah mengirimkannya rujukan seperti nota Rukun Negara sewaktu Fatimah kekurangan bahan rujukan.

Dalam video sama, kelihatan juga kemesraan dan keramahan penduduk Kampung Shaoling dengan pelawat atau pelancong yang hadir.

Walaupun penternakan ayam dilakukan secara terbuka, kebersihan kawasan sekitar kampung tetap dijaga dengan teliti.

Ketika meninjau persekitaran, Cikgu Fatimah sempat berkongsi peribahasa Melayu kepada jirannya.

"Lihat ayam itu, seperti 'hangat-hangat tahi ayam'. Ia peribahasa bermaksud seseorang yang tak melakukan sesuatu kerja sehingga tamat," katanya.

Antara keunikan lain yang terdapat di kampung tersebut adalah tong sampah interaktif yang mengeluarkan suara secara automatik.

Peranti itu juga memberi panduan tentang jenis sampah yang perlu dimasukkan ke setiap tong serta membantu penduduk mengasingkan sisa dengan lebih teratur dan sistematik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram