Hanya 5 peratus rakyat tempatan di ladang, Felda akui persepsi 'gaji sama, insentif beza' cabaran tarik minat anak muda


  • Massa
  • Isnin, 10 Nov 2025

Anak peneroka digalakkan menyertai sektor ladang melalui kemudahan moden dan insentif yang disediakan oleh Felda. — Gambar hiasan/Arkib

HANYA lima peratus tenaga kerja di ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini terdiri daripada warga tempatan, manakala selebihnya masih bergantung kepada pekerja asing, kata Timbalan Pengarah Jabatan Kelestarian Felda, Mohamad Firdaus Mansor.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi antara cabaran utama Felda dalam memastikan kesinambungan penglibatan generasi baru peneroka dalam sektor perladangan negara.

Namun begitu, penglibatan bumiputera dalam rantaian perniagaan dan perkhidmatan sokongan Felda masih dianggap stabil.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun pakai apron pecah masuk kedai runcit, guna tuala elak kesan cap jari di Shah Alam

BACA LAGI: 'Cikgu ibarat bercakap dengan tunggul’, pelajar perempuan selamba buat 'live' ketika PdPC di sekolah

Firdaus (dua dari kiri) dalam sesi pod siar di Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF di Terengganu Ogos lalu. — Facebook/Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation 

"Walaupun hanya sekitar lima peratus pekerja tempatan yang terlibat secara langsung di ladang, kira-kira 60 peratus kontraktor dan pemborong dalam ekosistem Felda adalah dalam kalangan bumiputera, termasuk generasi Felda sendiri," jelas beliau kepada Majoriti ketika ditemui pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program berkonsep 'edutainment' itu bertujuan mendekatkan masyarakat kepada aspek kelestarian industri sawit dan pemuliharaan hidupan liar selain memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kepentingan amalan lestari di ladang.

Menurut Firdaus, antara punca utama rendahnya penyertaan warga tempatan adalah persepsi bahawa pendapatan mereka tidak jauh berbeza dengan pekerja asing, selain beranggapan golongan terbabit 'menikmati' lebih banyak kemudahan.

"Pekerja tempatan sering beranggapan gaji mereka sama sahaja seperti warga asing, ditambah pula mereka (warga asing) menerima kelebihan lain seperti asrama, kenderaan dan pelbagai insentif lain.

"Ini yang menjadi cabaran untuk ubah persepsi itu," katanya.

Kanak-kanak dan keluarga turut menyertai aktiviti interaktif di Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang mengetengahkan mesej kelestarian melalui pendekatan edutainment. — Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation 

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kerja di ladang memerlukan komitmen dan konsistensi tinggi, terutama bagi tugas-tugas rutin seperti merumput, membaja dan meracun.

"Kerja-kerja pengurusan ladang seperti merumput, membaja dan meracun kebanyakannya disertai oleh generasi kita sendiri, namun bagi kerja berat seperti menuai dan mengangkat buah, ia masih banyak melibatkan tenaga warga asing," ujarnya.

Katanya lagi, Felda kini ke arah menggalakkan penglibatan generasi muda melalui penggunaan jentera dan teknologi moden bagi meringankan beban kerja serta meningkatkan produktiviti di ladang.

Justeru, bagi menarik semula minat generasi muda bekerja di ladang, Felda memberi keutamaan kepada anak peneroka dengan menyediakan lot generasi, kemudahan perumahan serta insentif perubatan dan kenderaan kepada mereka yang berkhidmat di kawasan Felda sendiri.

"Langkah tersebut bukan sahaja memberi impak kepada kesejahteraan komuniti, malah mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam jangka panjang," ujarnya.

Selain itu, Felda turut bekerjasama dengan MPOGCF dalam usaha meningkatkan kesedaran peneroka dan generasi baharu mengenai kepentingan kelestarian.

"Felda bekerjasama dengan MPOGCF dari segi kesedaran kepada peneroka generasi berkaitan kelestarian, terutamanya melibatkan ladang, hidupan liar dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, antara cabaran yang turut dikenal pasti adalah kurangnya kefahaman dalam kalangan warga peneroka terhadap aspek pemeliharaan alam, penjagaan sungai dan tanah, sekali gus menuntut perhatian dan pendekatan lebih berfokus daripada pihak Felda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram