Dijual cecah ratusan ribu ringgit, permintaan minyak wangi 'bespoke' lonjak nilai haruman eksklusif dalam pasaran


  • Bisnes
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Permintaan penghasilan minyak wangi 'bespoke' yang kian meningkat dalam pasaran tempatan. — Gambar hiasan/Luxasia

SEIRING perkembangan dunia fesyen, industri haruman kini menyaksikan lonjakan tarikan terhadap minyak wangi bespoke atau ramuan direka khusus untuk pemiliknya.

Semakin banyak jenama juga mula menggunakan istilah tersebut demi pengalaman eksklusif hanya ditawarkan kepada pelanggan tertentu.

Dalam konteks itu, haruman bespoke juga merujuk kepada wangian yang dicipta sepenuhnya oleh pencipta minyak wangi dan dihasilkan sekali sahaja.

BACA LAGI: Sediakan ruang terapi, pasangan suami isteri ubah operasi butik jadi 'hotel mewah' kucing jalanan

BACA LAGI: Yoga dan pilates berlatarkan padang golf, doktor guna kepakaran ceburi bidang 'wellness'

Tempahan wangian dibayar dengan harga yang tinggi. — Henry Jacques

Tidak mahu ketinggalan, Henry Jacques menjadi antara jenama haruman dan wangian yang menggunakan konsep sama di dalam operasi perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anne-Lise Cremona menyifatkan bahawa proses itu dipanggil sebagai Sur-Mesure dalam bahasa Perancis.

Menurut Anne yang juga merupakan anak perempuan kepada pengasasnya, Henry Jacques, ia bermaksud satu pengalaman dan perjalanan panjang untuk menghasilkan sesuatu wangian.

"Prosesnya merupakan satu perjalanan panjang dan selalunya mengambil masa berbulan-bulan.

"Pelanggan perlu melalui sesi perbincangan dan penambahbaikan bersama pakar menghasilkan minyak wangi.

"Jika ada yang menawarkan servis custom made siap dalam tempoh tiga minggu, besar kemungkinan hasilnya akan mengecewakan," katanya.

Katanya, penciptaan haruman unik memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek.

Ia termasuk kandungan ion hidrogen dalam pelbagai bahan (pH) kulit, memori olfaktori (deria bau) pelanggan dan kebebasan mengubah kreativiti sepanjang proses berlangsung.

Anne yang kini menguruskan operasi perniagaan wangian di Henry Jacques. — Agensi

Beliau juga menegaskan bahawa Henry Jacques kekal sebagai satu-satunya jenama yang benar-benar menawarkan pengalaman bespoke tulen.

Mereka menawarkan komposisi unik dengan formula dan naratif tersendiri sekali gus menjadi milik eksklusif pelanggan.

Baginya, peningkatan minat terhadap haruman tersebut mungkin disebabkan kebosanan pengguna terhadap pemasaran haruman arus perdana.

"Pelanggan hari ini tidak lagi sekadar mahu mengikut selebriti atau identiti sesebuah jenama," jelasnya.

Dalam pada itu, lonjakan semula permintaan terhadap keunikan wangian turut disokong pengguna yang semakin berpengetahuan.

Golongan yang digelar perfumetellectuals kini mampu membezakan komposisi kompleks daripada wangian komersial lebih ringkas.

Namun, persoalan terbesarnya adalah harga.

Di Malaysia, haruman bespoke yang dijual syarikat mewah secara terus boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

Mengulas lanjut, pakar wangian tempatan, Dr Mohd Azri Ab Rani mengakui bahawa kos tinggi menjadi kekangan utama kepada pelanggan.

Dr Mohd Azri juga menghasilkan dan menjual jenama minyak wanginya di pasaran. — Instagram/Dr Mohd Azri

"Saya tidak galakkan sangat beli haruman bespoke, ia terlalu mahal.

"Saya boleh hasilkannya, tetapi saya akan kenakan harga sekitar RM20,000 untuk sebotol," katanya.

Mengakui trend tersebut wujud, penyelidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menegaskan bahawa haruman pada asasnya sudah bersifat peribadi meskipun dibeli secara tempahan atau tidak.

"Malah wangian yang anda temui dari rak adalah diperibadikan, cuma bukan untuk anda.

"Jika Selena Gomez (penyanyi Amerika Syarikat) adalah tokoh wangian, ia sudah pun dicipta mengikut imejnya.

"Mungkin dengan nota berbau wangi, bunga atau malah sesuatu yang berbau seperti coklat," jelasnya.

Beliau menambah bahawa nota wangian seperti kayu atau oud kebiasaannya cenderung dicipta untuk seseorang yang berani seperti pemimpin dunia.

"Untuk wangian yang ditempah khas mewakili negara seperti Malaysia, saya akan memilih bauan tropika yang lembut namun ada identiti tersendiri," tambahnya.

Secara saintifik, menempah haruman sendiri bukanlah sekadar mencampurkan nota wangian kegemaran anda.

Sebaliknya, interaksi kimia antara bahan boleh menghasilkan aroma baharu yang tidak dijangka bahkan mampu menenggelamkan nota bau yang ingin diketengahkan.

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga kini membantu memberikan cadangan yang lebih tepat, namun seni penghasilan minyak wangi kekal bersifat subjektif.

potent quality cbd illustration natural wellness, relief premium, effective lab potent quality cbd

Setiap wangian 'bespoke' dihasilkan dengan teliti oleh pakar minyak wangi. — Gambar hiasan/The Star

Meskipun tidak semua jenama menawarkan haruman bespoke, pengguna masih dapat menghasilkan aroma tersendiri melalui teknik layering (lapisan), iaitu menyembur beberapa wangian berbeza bagi mencipta kombinasi unik.

Walaupun jenama tidak menawarkan wangian yang dipesan lebih dahulu, masih terdapat cara untuk mencipta bau yang agak unik.

Begitu juga dengan menggabungkan wangian bersama produk pelembab badan bagi menambah aroma lain.

Justeru, Pengurus Negara Luxasia Malaysia, Ajay Ramachandran mencadangkan agar pengguna dapat meneroka jenama niche yang menawarkan komposisi berbeza daripada wangian arus perdana.

Luxasia merupakan rangkaian runcit dan platform e-dagang dalam pengedaran jenama kecantikan terbesar di Asia Pasifik.

Menurutnya, perbezaan kimia dalam tubuh turut mampu menghasilkan haruman berbeza pada setiap individu.

"Tidak mungkin bau sama akan berbau sama pada kulit setiap orang kerana kimia badan individu berbeza.

"Setiap orang adalah unik dengan cara mereka sendiri," ujarnya.

Selain tempahan wangian, ukiran monogram pada botol, pembungkusan hadiah khusus, penulisan nota serta perkhidmatan cop lilin juga memberi pengalaman istimewa kepada pelanggan. — The Star/BERVIN CHEONG

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram