Jangan alpa! Anda boleh dipenjara, denda jika simpan bulu atau telur burung pungguk jelapang — BORG


  • Massa
  • Khamis, 27 Nov 2025

Aktiviti menangkap atau menyimpan anggota burung pungguk jelapang perlu mendapat permit daripada pihak PERHILITAN. — Gambar hiasan/MPOGCF

AKTIVITI penyeludupan dan penyimpanan haram hidupan liar sememangnya masih menjadi kebimbangan apabila melibatkan spesies terancam atau terpelihara di bawah undang-undang negara.

Ia termasuk spesies burung pungguk jelapang atau dikenali dengan nama saintifiknya, tyto javanica.

Spesies itu juga merupakan ejen kawalan biologi semula jadi yang sangat efisien, terutama di ladang kelapa sawit atau sawah padi.

BACA LAGI: Serupa tapi tak sama, burung pungguk jelapang 'wira' senyap, ganti racun hapuskan tikus perosak di ladang sawit

BACA LAGI: Jelajah Sawit Hijau MPOGCF bakal kunjungi zon sama, 3 negeri berbeza tahun depan

Jelajah Sawit Hijau 2025Pelancaran Buku di Melawati Mall, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Pengunjung Jelajah Sawit Hijau MPOGCF didedahkan dengan ilmu berkaitan burung pungguk jelapang. — The Star

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, sekumpulan penyelidik dari Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) tampil menjelaskan status perlindungan spesies tersebut menerusi pameran khas pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Melawati Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pegawai penyelidik BORG dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Afif Farhan Adnan, burung pungguk jelapang kini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Sebenarnya burung pungguk jelapang termasuk haiwan liar yang dilindungi.

"Sebarang aktiviti menangkap, menyimpan, memiliki mana-mana anggota badannya seperti bulu, tengkorak atau telur memerlukan permit khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Kalau kita simpan tanpa ada permit, boleh dipenjara lima tahun atau denda sebanyak RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya kepada Majoriti.

Mohamad Afif (kanan) menerangkan tentang peranan burung pungguk jelapang dalam menjaga ekosistem kebun dan ladang sawit.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan beberapa kesalahan lazim melibatkan spesies tersebut.

Katanya, ia termasuk menyimpan bulu untuk dijadikan perhiasan rumah atau penanda buku.

"Ada juga yang jadikan burung ini sebagai makanan eksotik, ambil telurnya yang kononnya untuk tujuan kesihatan.

"Itu semua tidak benar dan tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

"Kita mahu masyarakat faham bahawa haiwan ini perlu dilindungi, bukan dieksploitasi," tegasnya.

Pihak BORG yang bertanggungjawab memberi pendedahan memulihara kelestarian alam dan hidupan liar kepada orang awam.

Pameran BORG itu sekali gus menjadi usaha berterusan bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga biodiversiti hidupan liar.

Selain itu, burung pungguk jelapang turut memainkan peranan penting dalam menjaga ekosistem dan tanaman sawit dengan lebih sihat disebabkan lebih 95 peratus diet hariannya yang terdiri daripada tikus perosak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram