SEORANG penghantar barang berusia 37 tahun mengaku bersalah atas tuduhan menyerang wartawan veteran, Haresh Deol, dalam insiden di Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa .
R. Krishnan, yang turut didakwa bersama seorang lagi suspek yang masih bebas, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Haresh, 43, di hadapan bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar antara pukul 3.10 petang hingga 3.32 petang.
Bagi pertuduhan yang dibacakan, Krishnan mengaku bersalah. Kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
BACA LAGI : Tindakan agresif halang tugas wartawan tak boleh diterima — FAM
BACA LAGI : Polis tahan lelaki serang Haresh Deol, suspek direman 3 hari
Pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, memohon tarikh lain bagi menyediakan kenyataan fakta dan hukuman, serta mencadangkan jaminan RM4,000.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Salihen Mastor, memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan tertuduh bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan harian RM40 dan mempunyai enam anak, termasuk seorang yang berusia setahun.
"Isteri dia (tertuduh) hadir di mahkamah pada Khamis. Kami memohon jumlah jaminan lebih rendah," kata Salihen.
Mahkamah Majistret Illi Marisqa Khalizan menetapkan jaminan RM2,000 dan menetapkan 22 Jan depan untuk hukuman.
Dalam insiden pada Selasa itu, Haresh yang juga pengasas portal TwentyTwo13, diserang oleh dua individu di Bangsar, dengan salah seorang merakam serangan menggunakan telefon bimbit.
Kejadian tersebut turut dikecam oleh Gerakan Media Merdeka (Geramm), Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Kesatuan Wartawan Nasional Malaysia (NUJ) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menunjukkan kebimbangan terhadap serangan yang nampak seperti mensasarkan wartawan ketika menjalankan tugas.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Fadil Marsus, berkata suspek dipercayai menyasarkan orang yang salah. Siasatan awal mendapati serangan berpunca daripada motif peribadi berkaitan dakwaan gangguan terhadap isteri suspek. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
