[VIDEO] Pelekat kecil punca tercekik, wanita kongsi pengalaman ngeri bayi terpaksa dibedah akibat sticker tersangkut di pita suara


  • Bonda
  • Khamis, 27 Nov 2025

Seorang wanita berkongsi detik cemas apabila satu pelekat kartun tersangkut di tekak bayi lelakinya.

PELEKAT comel berwarna-warni dan berbentuk kartun yang biasa dianggap selamat hampir meragut nyawa seorang bayi lelaki apabila tersangkut di pita suaranya sehingga perlu dibedah segera.

Fazira Hazali, ibu kepada bayi berkenaan, berkongsi pengalaman menakutkan itu menerusi laman Threads, fzrhzl_ pada Rabu.

"Anak mummy terlebih bijak sangat. Stiker kakak dia masuk mulut. Tersangkut pada tekak bahagian pita suara.

BACA LAGI: 'Memang memberi inspirasi', wanita tersentuh hati saat guna telekung wakaf ketika solat di masjid

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibu bangga nak', wanita terharu anak perempuan umur 5 tahun berani masuk pertandingan hafazan al-Quran

"Tak pasal-pasal kena dimasukkan ke hospital dan bilik pembedahan," katanya.

Jelas Fazira lagi, walaupun rumah dibersihkan daripada mainan kecil dan benda berisiko, tangan bayi yang pantas tetap boleh mencapai dan memasukkan benda ke dalam mulut.

"Mainan yang bersaiz kecil semua sudah dibuang, tak sangka pelekat kecil ini boleh jadi punca anak 'tercekik'.

"From mummy to another mummy. Hati-hati semua. Kalau rumah dah bersih pun kan, macam mana entah stiker kecil ini pun dia boleh jumpa," tulisnya lagi.

 

 

Menurut Fazira lagi, dia menyedari kejadian tersebut ketika anak bongsunya itu mengeluarkan air liur yang banyak.

"Saya dapat kesan sebab air liur kept drooling sampai basah baju, memang tak normal dan apabila menyusu, susu keluar balik.

"Setiap kali telan air liur dia nangis sakit. So terus pergi klinik dan nampak ada benda tersangkut tapi klinik rujuk hospital," katanya.

Fazira menasihatkan ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati dengan objek kecil walaupun kelihatan comel dan selamat.

“Kalau nampak benda kecil bersepah, terus buang. Pelekat nampak kecil dan selamat, tapi ia boleh menjadi sangat berbahaya jika tersangkut di tekak anak.

"Tangan bayi sangat laju, kita sekejap sahaja ke dapur, benda boleh masuk mulut," katanya.

Tegasnya, walaupun kejadian seperti itu di luar kawalan ibu bapa, langkah berjaga-jaga tetap penting.

“Asalkan kita sentiasa memerhatikan anak dan memastikan rumah bebas daripada benda-benda kecil, insya-ALLAH risiko boleh dikurangkan. Namun tetap kena berhati-hati kerana perkara tak dijangka boleh berlaku bila-bila masa,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna Threads turut berkongsi pengalaman serupa.

Pengguna Threads, nrsyajsmn menceritakan anaknya pernah menelan pelekat berbentuk kuda laut ketika berusia 10 bulan.

"Anak saya tidak dapat selamatkan pelekat itu. Keluar ikut najis. Masa kecemasan saya beritahu doktor tertelan pelekat berbentuk kartun kuda laut, doktor terkejut.

"Waktu itu dia macam tercekik sesuatu dalam satu hingga dua minit, lepas itu diam. Terus ke hospital. Sejak itu kakaknya tidak beli pelekat lagi," katanya.

Manakala pengguna miszaida90 pula berkongsi pengalamannya apabila anaknya menelan dua pelekat.

"Anak saya langsung tidak menunjukkan tanda sakit atau menangis. Waktu membuang air, nampak kertas warna kuning dengan merah jambu.

"Tengok balik di lampin, rupanya pelekat. Sejak itu saya tidak bagi kakak-kakaknya main pelekat sebab adik suka ambil dan masukkan ke mulut.

"Kadang semut pun dia ambil masuk mulut. Ibu nak buat kerja risau je manjang,” tulisnya.

Kisah-kisah itu menjadi peringatan kepada ibu bapa lain mengenai bahaya objek kecil kepada bayi, walaupun kelihatan selamat.

Pengawasan rapi di rumah tetap menjadi langkah paling penting untuk mengelakkan insiden yang boleh membahayakan nyawa anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram