Pelajar tingkatan 4 pengsan dipukul dalam tandas asrama di Kedah, rakan sebaya direman


  • Kes
  • Khamis, 27 Nov 2025

Seorang remaja direman tiga hari bagi membantu siasatan kes serangan ke atas seorang pelajar Tingkatan Empat di asrama sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah pada Isnin. — Gambar hiasan

SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan kes serangan ke atas seorang pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah pada Isnin.

Mangsa ditemukan seorang guru dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan. 

Pihak sekolah memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa pada pukul 9.05 pagi, dengan kesan lebam turut dikesan pada tubuh remaja berkenaan.

BACA LAGI : [VIDEO] Pelekat kecil punca tercekik, wanita kongsi pengalaman ngeri bayi terpaksa dibedah akibat sticker tersangkut di pita suara

BACA LAGI : Jimat kira-kira RM800 setahun, ramai masih tak tahu individu OKU, waris layak dapat cukai jalan percuma

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 12.10 tengah malam apabila mangsa dipercayai dipukul selepas didakwa menghina rakan kepada salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati suspek utama berang dengan tindakan mangsa dan mengajak tiga rakan lain untuk bersemuka dengannya.

"Empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun ditahan untuk membantu siasatan. 

"Namun, hanya seorang direman selama tiga hari manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani pada Khamis," katanya.

Menurut beliau, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya di asrama tersebut dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. — The Star/IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram