[VIDEO] 'Salah seorang mangsa itu nenek saya', cucu geram lelaki rembat 2 beg ketika jemaah solat di Dungun


  • Tular
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Tangkap layar rakaman CCTV tersebut yang memaparkan kejadian mencuri beg jemaah wanita di sebuah surau.

DUA beg tangan milik jemaah wanita lesap sekelip mata ketika solat Isyak berjemaah di Masjid Kampung Che Lijah dekat Dungun, Terengganu pada Khamis.

Menerusi perkongsian di akaun rasmi TikTok Masjid Kampung Che Lijah, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 8.22 malam ketika jemaah sedang sujud.

BACA LAGI: Pelajar tingkatan 4 pengsan dipukul dalam tandas asrama di Kedah, rakan sebaya direman

BACA LAGI: [VIDEO] Pelekat kecil punca tercekik, wanita kongsi pengalaman ngeri bayi terpaksa dibedah akibat sticker tersangkut di pita suara

Pihak masjid dalam kenyataan ringkas mengingatkan semua jemaah agar sentiasa berwaspada dan memastikan barang berharga disimpan di tempat selamat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Peringatan kepada semua jemaah Masjid Kampung Che Lijah.

"Pada 27 November 2025, sekitar pukul 8.22 malam ketika solat Isyak berjemaah, berlaku kejadian kecurian melibatkan dua beg tangan jemaah muslimah yang sedang menunaikan solat.

"Mohon semua jemaah muslimin dan muslimat agar sentiasa berjaga-jaga serta memastikan barang berharga berada di tempat selamat semasa solat. Sama-sama kita elakkan kejadian seperti ini berulang," katanya.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, suspek dilihat memasuki ruang solat wanita secara senyap-senyap ketika beberapa jemaah sedang menunaikan solat.

Suspek yang berkain pelekat dan memakai kemudiannya jersi hijau bertindak pantas mengambil dua beg berhampiran saf hadapan sebelum beredar melarikan diri.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen memaparkan seorang pengguna TikTok, yons mendakwa ahli keluarganya turut menjadi mangsa.

"Doakan pencuri tu segera ditangkap... nenek saya salah seorang mangsa," katanya.

Seorang lagi pengguna, YANA SHOP, mencadangkan agar masjid menyediakan loker berkunci bagi keselamatan jemaah.

"Sepatutnya setiap masjid kena buat loker, senang orang nak sembahyang. Semua barang masuk dalam tu dan kunci sendiri. Bila habis solat baru ambil. Tak adalah jadi macam ni lagi," tulisnya.

Pengguna TripleA pula meluahkan rasa simpati terhadap mangsa.

"ALLAHuakbar, kesian beg kena curi. Sebab itu saya suka letak beg depan kaki, bila sujud terus tak nampak. Moga dipermudahkan urusan makcik-makcik yang dicuri beg," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram