Jelajah Sawit Hijau MPOGCF bakal kunjungi zon sama, 3 negeri berbeza tahun depan


  • Massa
  • Isnin, 24 Nov 2025

Kemuncak siri Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Zon Lembah Klang pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

KEMUNCAK siri Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Menurut Pengurus Komunikasi Strategik MPOCGF, Tuan Nazuri Tuan Ismail, program tersebut pada awalnya dijadualkan berlangsung dua tahun sekali.

Namun, susulan sambutan luar biasa daripada pengunjung secara tidak langsung mendorong pihaknya merancang untuk memperluaskan edisi seterusnya di lokasi berbeza.

BACA LAGI: Pelancaran buku panduan pengecaman tapak hidupan liar meriahkan kemuncak Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025

BACA LAGI: Malaysia bakal sertai IUCN, bukti serius promosi, pertahan industri sawit negara 

Pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh pihak MPOGCF sepanjang siri Jelajah Sawit Hijau di empat zon.

Katanya, empat siri jelajah yang dilaksanakan turut menarik minat pelbagai pihak termasuk rakan strategik untuk tampil berkolaboratif.

"Memandangkan sambutan sangat menggalakkan berkemungkinan kita akan adakan lagi siri ini jelajah pada tahun depan.

"Jika sebelum ini di Zon Utara dilaksanakan di Kedah, mungkin seterusnya Pulau Pinang jadi pilihan.

"Di Zon Timur pula mungkin di Kelantan atau Pahang.

"Kita memilih lokasi dan negeri mungkin berbeza, tetapi masih mengikut zon sama," katanya ketika ditemui Majoriti pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 Zon Lembah Klang, Sabtu.

Beliau turut berkata, pihak MPOGCF juga merancang memperluaskan siri jelajah tersebut ke Borneo.

Pada masa sama beliau berkata, inisiatif memberi pendedahan terhadap kelestarian alam tetap menggunakan pendekatan sama.

Jelajah Sawit Hijau 2025Pelancaran Buku di Melawati Mall, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Tuan Nazuri (tengah) menjelaskan tentang peranan MPOGCF dalam memberi pendedahan lebih luas berkaitan kelestarian alam dan hidupan liar di Malaysia. — The Star

"Kita akan memperhebatkan lagi program-program pengisiannya dengan masih menggunakan edutainment iaitu berhibur sambil mendidik.

"Tetapi kita akan memperbanyakkan aktiviti yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat," jelasnya.

Acara penutup itu turut menyaksikan melancarkan buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai spesies yang hidup bersama ekosistem tanaman sawit.

Selaku individu berkepentingan dalam menghasilkan buku tersebut, Eksekutif Kanan Jabatan Pemuliharaan dan Kelestarian MPOGCF, Zalifah Ramli memberitahu bahawa ia merupakan cetakan buku ketiga yang diterbitkan.

Buku tersebut juga dihasilkan dengan kerjasama MPOGCF dan pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Dalam buku ini kita masukkan satu bab berkaitan kesalahan dan penalti berkaitan lesen.

"Jadi buku ni sebenarnya untuk mengecam tapak kaki hidupan liar yang ada di ladang sawit atau di lapangan.

"Melalui pengecaman hidupan liar ini diharap dapat membantu pengurusan ladang untuk menguruskan hidupan liar di ladang sawit.

"Sebanyak kira-kira 45 tapak kaki hidupan liar yang direkodkan dalam buku ini," katanya.

Zalifah merupakan antara penulis buku 'Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan' hasil kolaboratif bersama PERHILITAN. 

Selain dapat mempelajari setiap bentuk tapak kaki hidupan liar, ilustrasi dan ukuran yang direkodkan dalam buku itu sekali gus membantu penggiat industri mengenal pasti spesies haiwan terbabit dengan lebih jelas.

"Contohnya, tapak kaki kucing kampung dan kucing batu nampak serupa, tetapi saiznya berbeza.

"Jadi, buku ini menyediakan rujukan tepat supaya pihak pengendali ladang dapat mengenal pasti kehadiran hidupan liar dan mengambil tindakan pengurusan yang sesuai,” jelasnya.

Tambahnya, buku panduan tersebut sudah diagihkan kepada pihak industri serta kakitangan PERHILITAN untuk digunakan sebagai rujukan lapangan.

Namun menurutnya, tiada perancangan lagi untuk membuat edaran kepada orang awam.

Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Hairulazim Mahmud; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konsevasi Hidupan Liar,Tuan Chek Salan @ Mohd Saiful Mohd Zain; Ahli Lembaga Pemenagang Amanah Yayasan Pemuliharaan MPOGC, Andy Lee Yiew Meng; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Parveez Ghulam Khadir dan Pengurus Suria FM, Borhanuddin Abdullah.

Program dicetuskan MPOGCF itu turut menampilkan rakan strategik iaitu PERHILITAN, Earthworm Foundation (EF), Johor Plantation Group Berhad (JPG), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Barn Owl & Rodent Research Group (BORG) dan Pertubuhan Kelestarian Ekonomi Alam (NEST). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram