SUSULAN isu tular melibatkan tindakan sambil lewa ibu bapa meninggalkan anak di taman permainan tertutup tanpa pengawasan, pelbagai pihak meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di fasiliti rekreasi tersebut.
Isu berkenaan kembali hangat diperkatakan apabila seorang wanita mendedahkan pengalaman sebenar ketika berdepan situasi tersebut.
Menerusi perkongsian pengguna akaun Threads @nac_zk, kejadian sedemikian ternyata bukanlah satu perkara baharu.
BACA LAGI: Gara-gara tinggalkan anak lebih 2 jam di 'indoor playground', kecurangan suami terbongkar

Isu melibatkan seorang lelaki yang didakwa curang dan sengaja meninggalkan dua anaknya bermain di sebuah taman permainan tertutup baru-baru ini.
Pemilik akaun yang juga merupakan pekerja di sebuah fasiliti permainan kanak-kanak itu turut mendedahkan beberapa situasi yang sering berlaku.
"Dah banyak kali budak panjat keluar tembok dan lari keluar bila pagar terbuka.
"Kami sebagai staf risau, tetapi ibu bapa boleh buat tidak endah sahaja. Tinggalkan mereka dan berjalan di dalam pusat beli-belah.
"Kes anak terkencing dalam kawasan permainan pun ada. Kalau ada yang beritahu, saya akan dengan pantas hubungi ibu bapa mereka untuk ambil anak dan bawa ke tandas.
"Tetapi, boleh katakan, 40 peratus sahaja yang angkat, selebihnya tidak," ceritanya.
Menurutnya, setiap kanak-kanak berusia di bawah lima tahun wajib ditemani penjaga.
Namun, ramai ibu bapa enggan untuk masuk dan memaksa staf membenarkan anak kecil bermain bersendirian.
"Ada yang paksa, merayu suruh lepaskan anak dia masuk tanpa penjaga sebab dia dia nak makan di luar.
"Saya terpaksa larang kerana takut kanak-kanak akan masukkan mainan dalam mulut.
"Banyak kes budak makan batu-batu kecil, ada juga yang terjun kolam ikan," jelasnya.
Staf tersebut turut mendedahkan terdapat ibu bapa membeli pakej selama tiga jam dan meninggalkan anak sepanjang tempoh itu tanpa bekalan makanan atau minuman.
Katanya, ramai ibu bapa menganggap pekerja bertanggungjawab menjaga anak mereka sepenuhnya, sedangkan tugas utama adalah memantau kawasan secara umum sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
