WAKAF dalam Islam merujuk kepada sumbangan harta atau barangan yang diniatkan untuk kegunaan umum atau amal jariah, seperti membina masjid, menyediakan kitab al-Quran, atau barangan keperluan ibadah lain.
Amalan mulia itu bukan sahaja meringankan beban masyarakat, malah menyemai nilai keprihatinan dan kepedulian dalam kalangan umat Islam.
Semangat inilah yang dikongsikan oleh Kamaria Maria melalui laman Threads @kamaria86, selepas tersentuh melihat sumbangan barangan kelengkapan masjid ketika singgah menunaikan solat Maghrib di sebuah masjid baru-baru ini.
Menurut Kamaria, barangan seperti telekung, selipar, kotak tisu dan alat basuh tangan diwakafkan untuk kegunaan jemaah, memberi inspirasi kepada ramai pihak untuk mencontohi amalan berpanjangan ini.
"Ketika singgah di masjid, nampak telekung ini dan tiba-tiba teringat saya melihat content hari lahir individu ini… dia membeli barang-barang kelengkapan masjid dan menuliskan 'wakaf AF'.
"Memang memberi inspirasi,” katanya yang menggunakan telekung diwakafkan oleh seorang individu tersebut di masjid berkenaan .
Kamaria turut menasihati orang ramai yang ingin berwakaf supaya meminta izin pihak masjid terlebih dahulu, bagi memastikan segala sumbangan digunakan dengan baik.
Pada masa sama, wanita itu turut menekankan bahawa amalan wakaf bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah menyemai pahala yang berterusan bagi pemberinya.
“Wakaf adalah amalan berpanjangan. Selagi manfaatnya dirasai, pahala terus mengalir tanpa putus,” ujarnya.
Amalan wakaf yang dikongsi Kamaria itu sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang keindahan memberi dalam Islam.
Ia bukan sahaja meringankan beban mereka yang memerlukan, malah menjadi amal jariah yang pahalanya berterusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
