Jimat kira-kira RM800 setahun, ramai masih tak tahu individu OKU, waris layak dapat cukai jalan percuma


  • Massa
  • Selasa, 25 Nov 2025

Seorang lelaki OKU berkongsi berita gembira tentang pengecualian penuh cukai jalan bagi kenderaan dengan rakannya yang baru mengetahui kemudahan tersebut. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

DI sebalik kesibukan rutin harian dan pelbagai tuntutan hidup, ramai di antara kita sebenarnya terlepas pandang hak mudah dan praktikal yang disediakan khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). 

Salah satunya adalah kemudahan pengecualian penuh cukai jalan bagi kenderaan yang dimiliki oleh OKU atau waris terdekat mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sekiranya layak dan menepati kriteria yang ditetapkan.

Permohonan itu terbuka untuk semua kategori OKU termasuk ibu bapa yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta suami dan isteri yang tergolong dalam golongan OKU.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Ibu bangga nak', wanita terharu anak perempuan umur 5 tahun berani masuk pertandingan hafazan al-Quran

BACA LAGI : 'Masih trauma banjir yang dulu', penduduk Sri Muda kesal gambar banjir dihasilkan AI jadi bahan gurauan, cetus panik

Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, hak berkenaan mampu memberi impak besar kepada mobiliti dan kos sara hidup golongan terbabit, sekali gus memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian tanpa tekanan kewangan tambahan.

Saya sendiri, sejujurnya, hanya mengetahui perkara tersebut selepas melihat status Facebook yang dikongsikan seorang rakan baru-baru ini. 

Waris atau individu OKU memerlukan kehadiran fizikal di kaunter JPJ untuk membuat permohonan pengecualian cukai jalan. — Gambar Hiasan  

Menariknya, apabila meneliti komen yang ditulis di status berkenaan, ramai rupanya seperti saya yang tidak mengetahui hak berkenaan sebelum ini, sekali gus menunjukkan bahawa masih wujud kekurangan pendedahan mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Sejujurnya, selepas membaca hantaran tersebut, saya terus membuka laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membaca sendiri syarat-syarat pengecualian cukai jalan

Menurut JPJ, pengecualian cukai jalan diberikan kepada pemilik kenderaan yang memegang kad OKU atau waris terdekat yang didaftarkan di bawah nama yang sama dalam sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun begitu, kemudahan tersebut memerlukan kehadiran fizikal di kaunter JPJ untuk membuat permohonan. 

Selain itu, setiap satu kad OKU hanya membolehkan tuntutan bagi satu kenderaan sahaja pada satu-satu masa.

Bagi waris yang namanya tidak sepadan dengan pemilik kenderaan contohnya ibu atau bapa yang ingin menuntut bagi pihak anak OKU, JPJ menasihatkan supaya mengemas kini maklumat waris dalam sistem JKM terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

Pengecualian penuh cukai jalan bagi kenderaan yang dimiliki oleh OKU atau waris terdekat bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memberikan mereka akses mobiliti yang lebih baik. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Bercerita semula tentang pengalaman rakan saya, dia berkongsi bahawa satu kad OKU membolehkan tuntutan bagi satu motosikal dan satu kereta sahaja, dengan syarat kenderaan import dipasang secara tempatan. 

Dokumen yang perlu dibawa termasuk salinan kad pengenalan dan lesen pemilik kenderaan, salinan geran, serta salinan kad OKU, dan harus mempunyai dokumen asal untuk pengesahan.

Menurut rakan saya, mereka baru dua tahun menuntut cukai jalan percuma, dan inisiatif itu membolehkan mereka menjimatkan kira-kira RM800 setahun, terutamanya kerana menggunakan kereta pacuan empat roda.

Inisiatif kerajaan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan golongan OKU mendapat sokongan sewajarnya, selaras dengan hak mereka. 

Ia bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memberikan mereka akses mobiliti yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.

Melalui maklumat tepat dan tindakan proaktif, keluarga OKU boleh memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan serta memastikan hak mereka tidak terabai.

Syarat-syarat pengecualian cukai jalan buat OKU

1. Pemohon mempunyai lesen memandu

2. Individu OKU atau ibu bapa atau penjaga atau pasangan telah berdaftar dan mempunyai rekod dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

3. Kenderaan didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU.

4. Pengecualian fi LKM sepenuhnya hanya terpakai kepada kenderaan yang diubah suai khas untuk kegunaan OKU 

5. Bagi kenderaan motor yang tidak diubah suai, pengecualian hanya kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional sahaja.

6. Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga sudah berdaftar dengan JKM.

7. Hanya untuk satu kereta dan satu motosikal sahaja.

Untuk makLumat lanjut, anda boleh melayari laman web https://www.jpj.gov.my  — Majoriti

Rozlan Mazlan merupakan seorang pekerja swasta yang memperjuangkan nasib OKU di Malaysia. 

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram