PELAJAR dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand dijangka pulang pada Khamis.
UUM menerusi satu kenyataan ringkas di laman Facebook, memaklumkan 36 pelajar dan empat pensyarah tersebut kini dalam persediaan proses pemindahan dari hotel mereka menginap.
"Keajaiban berlaku, tiba-tiba air surut di Hotel Wangburapa.
"Team UUM termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed di Hatyai pagi ini (Khamis) bawa pulang pelajar dan pensyarah UUM," tulis pentadbir laman Facebook berkenaan.
Difahamkan kesemua pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dijadualkan pulang ke Malaysia atau tiba di Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan bantuan Konsulat Malaysia di Hatyai.
Terdahulu, pada Rabu, Dr Ahmad Martadha menerusi kenyataan memaklumkan UUM cuba untuk membawa pelajar dan empat pensyarah berkenaan melalui pihak konsulat Malaysia di Hat Yai dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Sebelum ini melalui bantuan NGO, 12 bot digerakkan untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelajar itu di hotel penginapan mereka tetapi arus air terlalu laju menyebabkan bot berkenaan berpatah balik.
"Berbanding di tempat lain, hotel kediaman pelajar UUM berdekatan dengan sungai dan ketinggian paras air telah melebihi satu tingkat hotel berkenaan, yang tidak memungkinkan laluan kenderaan kereta atau lori," menurut kenyataan itu.
Kesemua pelajar terbabit dilaporkan selamat dan dalam keadaan baik sejak terkandas di Hat Yai pada 22 November lalu ketika mengikuti Program Pertukaran Budaya Thailand–Malaysia 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
