Filem senyap bajet tak sampai RM1,000, karya anak Ipoh bawa nama Malaysia ke pentas dunia


  • Bisnes
  • Khamis, 27 Nov 2025

Franz (kanan) memenangi kategori Pengarah Pendatang Baharu Terbaik bagi Filem Pendek GLIFF India menerusi filem LIFE.

FILEM senyap Living in Fear Everyday (LIFE) karya anak kelahiran Ipoh, Perak, Justin Franz mencipta fenomena tersendiri susulan kejayaannya menerima pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini

Karya itu terpilih ke Lift-Off First Time Filmmakers Sessions Global Network (UK), NanoCon International Film Festival (NIFF) (AS) dan Southeast Asia International Film Festival (SEAIFF) (Thailand).

Baru-baru ini, filem tersebut menerima dua lagi pengiktirafan menerusi Toronto Global Film Festival (TGFF), Kanada dan Golden Lion Internation Film Fetival (GLIFF) (India).

BACA LAGI: Michelle Yeoh bakal terima anugerah pencapaian seumur hidup di Festival Filem Berlinale 2026

BACA LAGI: [VIDEO] Satu pesawat bersorak Rajinikanth naik kelas ekonomi, bakal muncul filem ke-171 berjudul Coolie

Bagi kelima-lima pengiktirafan itu, LIFE dicalonkan dalam kategori Filem Pendek Antarabangsa Terbaik NIFF AS dan memenangi kategori Pengarah Pendatang Baharu Terbaik bagi Filem Pendek GLIFF India.

Franz bersama pengarah fotografi, Suran Hassan menghidupkan visi filem LIFE dengan bajet kurang daripada RM1,000, menggunakan hanya peralatan peribadi seperti kamera, telefon, dron dan perisian suntingan.

Bercakap kepada Majoriti baru-baru ini, Franz berkata, dia berasa teruja dan sangat terharu dengan pengiktirafan berkenaan kerana LIFE, sebagai projek kecil berjiwa besar dapat membuktikan bahawa emosi serta kejujuran benar-benar dihayati penonton.

"Ia bukan sekadar pencapaian untuk kami, tetapi juga satu harapan bahawa filem senyap dari Malaysia boleh berdiri di pentas dunia. 

"Ia juga memberi semangat untuk terus berkarya dan memperjuangkan cerita yang biasanya tidak diberi suara," katanya.

Berkongsi mengenai inspirasi di sebalik pembikinan filem LIFE, Franz berkata, filem itu lahir daripada banyak detik yang mencabar pemahaman dirinya mengenai empati. 

Pembikinan filem LIFE menggunakan peralatan peribadi seperti kamera, telefon, dron dan perisian suntingan.

Kongsinya, salah satu daripadanya berlaku kira-kira tiga tahun lalu ketika dia bersama isteri dan anak perempuannya sedang makan tengah hari.

"Ia adalah salah satu pengalaman sunyi yang jarang berlaku, yang memaksa kita menilai semula siapa diri kita sebagai manusia, betapa kita semakin kebas terhadap kesakitan dan betapa cepatnya kita memalingkan muka saat belas kasihan paling diperlukan. 

"Detik itu terus melekat dalam diri. Ia membuat saya sedar bahawa kadangkala kesunyian berbicara lebih lantang daripada kata-kata, dan dalam perjalanan hidup ini, kita seakan-akan terlupa satu tindakan paling asas dalam kemanusiaan, iaitu sikap ambil peduli," ceritanya.

Menurut Franz, dia tidak dapat berkongsi kejadian itu secara terperinci kerana ia akan mendedahkan elemen kejutan utama dalam filem tersebut.

"Namun apa yang boleh saya katakan ialah ia merupakan detik yang sangat peribadi, satu pengalaman yang membuka mata tentang bagaimana kita, sebagai manusia, memilih untuk bertindak balas terhadap kehidupan di sekeliling," katanya.

Ujar Franz, detik itu membentuk anak perempuannya menjadi insan yang baik hati secara semula jadi, kebaikan yang tidak perlu diucap, tetapi terserlah melalui tindakannya terhadap orang lain.

"Saya ingin meneroka bagaimana emosi, kemanusiaan dan penebusan dapat digambarkan tanpa penggunaan dialog, membiarkan visual, bunyi dan suasana menjadi bahasa utama menggantikan kata-kata," katanya.

Dengan bajet kurang daripada RM1,000, Franz menghasilkan filem senyap LIFE.

Meminati pembikin filem seperti Martin Scorsese, Quentin Tarantino, legenda sinema India, Kamal Haasan selain pengarah Malaysia Sun-J Perumal, Franz berkata, filem-filem mereka menginspirasikan dirinya dalam cara berbeza.

Katanya, dia turut terinspirasi oleh filem-filem moden seperti Drive dan La La Land yang masing-masing memiliki kekuatan terseniri meskipun dialognya minimalis dan muzik menjadi bahasa emosi, bukan sekadar alat penceritaan.

"Filem 21 Grams dan Jagat juga membentuk visi kreatif untuk LIFE — tidak linear, tanpa dialog dan digerakkan sepenuhnya oleh emosi.

"Saya juga sangat terpesona dengan karya Denis Villeneuve, terutamanya Blade Runner 2049. Ketepatan penceritaan visualnya, ritma pergerakan ceritanya dan cara beliau membina emosi melalui cahaya dan kesunyian benar-benar mengagumkan," katanya lagi.

Bercerita lanjut, Franz berkata, dia mahu mengubah tanggapan kononnya mustahil untuk menghasilkan sebuah filem senyap meskipun teknologi sekarang jauh lebih canggih dan mudah diakses.

"Kamal Haasan pernah menghasilkan sebuah filem senyap penuh berjudul Pushpak pada tahun 1980-an, pada ketika teknologi perfileman di India amat terhad dan mahal.

"Jadi tanggapan itu sendiri menjadi salah satu pendorong utama di sebalik LIFE, untuk membuktikan bahawa penceritaan hebat melangkaui kata-kata, masa dan batasan," katanya lagi. 

Filem senyap karya Kamal Hassan bertajuk Pushpak.

Menyentuh mengenai cabaran, Franz beranggapan penggiat seni seperti perniagaan yang turut menghadapi kekangan dari segi bajet.

Selain itu, katanya sumber manusia juga menjadi halangan utama di samping kekurangan sokongan daripada pihak produksi serta dana luar yang menyukarkan proses pembikinan filem.

"Kami ada cuba memohon dana filem, namun kebanyakannya menetapkan syarat bahawa pemohon mesti pernah menghasilkan filem sebelum membuat permohonan.

"Pada saya, ia agak ironik bagaimana seseorang boleh menghasilkan filem pertama mereka jika sistem sedia ada tidak memberi peluang ke arah itu?

"Adalah satu tanggapan yang naif bahawa pembikin filem pertama tidak mampu menghasilkan karya sulung yang kuat, dan akibatnya ramai pencerita yang bersemangat diketepikan sebelum mereka sempat bermula.

Sebahagian babak daripada filem LIFE.

"Tapi kami berjaya, dengan bajet yang tidak lebih besar daripada apa yang sesetengah produksi belanjakan hanya untuk makanan pelakon dan kru dalam sehari," katanya panjang lebar.

Namun, dia percaya pengiktirafan yang diterima produksi LIFE menunjukkan bahawa karya yang jujur, berani dan dihasilkan sepenuh hati tetap mampu menembusi batasan bajet dan sumber. 

"Kejayaan LIFE memberi harapan bahawa peluang untuk pembikin indie lain juga luas dan keberanian bercerita lebih penting daripada saiz produksi. 

"Semoga pencapaian ini menyuntik semangat kepada pembikin filem Malaysia untuk terus berkarya, membuka ruang pelaburan daripada produksi besar dan menggalakkan lebih banyak kolaborasi antara arus perdana dan dunia indie demi ekosistem filem yang sihat, seimbang dan inklusif," ujarnya.

LIFE dibintangi Ken Thayalan, Elli Famira, Max Gaudachon dan Aairenee Zarina yang bukan pelakon profesional, tetapi berjaya menzahirkan emosi tulen yang membuat penonton terpaku.

Turut muncul dalam filem itu ialah penyampai radio Rika Adrina dan pelakon Sara Mack Lubis yang pernah membintangi Nenek Bongkok Tiga dan Angkat. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram