LEDAKAN platform media sosial seperti Instagram, TikTok, Facebook dan Threads membuka lebih banyak peluang kerjaya baharu, termasuk menjadi content creator.
Ramai memilih bidang itu untuk menghasilkan kandungan seperti reviu makanan, OOTD (outfit-of-the-day), perkahwinan (wedding content creator) dan banyak lagi.
Namun di sebalik populariti kerjaya tersebut, ramai mungkin tidak sedar bahawa content creator juga terikat dengan kewajipan membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
BACA LAGI: Panduan susun fail dokumen bisnes, elak serabut buat urusan pelepasan cukai LHDN
BACA LAGI: Pelepasan cukai sehingga RM1,000 sokong pelancongan domestik, Langkawi jadi destinasi 'geotourism'
Seorang content creator, Nurshafira Mohd Nor, berkongsi cara mudah bagaimana dia merekodkan pendapatan serta perbelanjaan tahunan bagi urusan cukai.
1. Rekod semua sumber pendapatan
Menurutnya, setiap sumber pendapatan perlu dicatatkan tanpa tertinggal walau satu pun.
“Sebagai contoh, saya ada pendapatan daripada reivu makanan restoran, Partipost, Xamble dan content monetization,” katanya.
Pendapatan itu dikategorikan sebagai pendapatan penggajian atau perniagaan dan wajib diisytiharkan dalam e-Filing.
2. Kenal pasti perbelanjaan yang dibenarkan
Nurshafira menegaskan bahawa hanya perbelanjaan berkaitan kerja boleh direkodkan sebagai perbelanjaan perniagaan, antaranya:
- Pembelian makanan untuk reviu
- Tiket penerbangan
- Kos perjalanan
- Peralatan kerja seperti kamera atau mikrofon
“Gaji sendiri atau pengambilan peribadi bukan dianggap sebagai perbelanjaan. Itu masih pendapatan dan perlu diisytiharkan,” jelasnya.
3. Bayar zakat tahun semasa
Nurshafira turut mengingatkan agar mengira dan membayar zakat sepanjang tahun.
“Lebih pun tidak mengapa, sebab kita akan kira semula dalam e-Filing. Yang penting, bayar dalam tahun semasa,” katanya.
Zakat yang dibayar boleh dituntut sebagai rebat ketika mengisi e-Filing.
4. Keuntungan bersih sebagai pendapatan tambahan
Apabila tiba musim e-Filing pada Mac/April, dia akan memasukkan keuntungan bersih atau keuntungan sebenar (net profit) sebagai pendapatan tambahan memandangkan dirinya juga mempunyai pendapatan utama lain.
Selepas menolak rebat zakat dan pelepasan tertentu, barulah jumlah cukai sebenar dapat dilihat.
5. Guna perisian untuk mudahkan rekod
Bagi memudahkan proses, Nurshafira menggunakan perisian Manager.io sebagai sistem perakaunan peribadi.
“Mudah sangat. Tapi kalau nak guna Excel pun boleh,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai, memandangkan semakin banyak content creator kini menjadikan platform digital sebagai sumber pendapatan utama.
Langkah merekod pendapatan dan perbelanjaan lebih awal bukan sahaja memudahkan urusan e-Filing, tetapi juga memastikan mereka memenuhi tanggungjawab sebagai pembayar cukai.
Nurshafira menutup perkongsiannya dengan pesan ringkas agar semua pencipta kandungan menjadi individu yang berguna kepada negara! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
