Uptown Damansara baharu vibes R&R, tiada lagi 'open-space', dah selesa makan walaupun hujan


  • Bisnes
  • Rabu, 26 Nov 2025

Suasana di medan selera Uptown Damansara yang berwajah baharu. — Threads/rasyidulmunir

MEDAN Selera Uptown Damansara di Damansara Utama, Petaling Jaya kini kembali beroperasi selepas melalui proses perpindahan dan naik taraf, menjadikan medan selera popular sejak era 90-an itu tampil dengan suasana lebih luas, selesa dan bersih.

Bagi pengunjung yang sudah biasa ke sana, lokasi baharu medan selera itu terletak di tapak gerai Bintang Sue manakala kawasan lama difahamkan ditutup untuk kerja-kerja renovasi.

Perkongsian pengguna media sosial, Huney Bee Emelda di Threads, menarik perhatian ramai apabila menunjukkan keadaan baharu medan selera yang kini kelihatan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) dengan kawasannya lebih teratur dan kemas berbanding sebelum ini.

BACA LAGI: Hab bisnes TRX, Merdeka 118 pacu Kuala Lumpur duduki tangga ke-50 Bandar Terbaik Dunia 2026

BACA LAGI: Ramai sedih peniaga medan selera 'legend' Uptown Damansara mahu tutup gerai gara-gara sewa naik RM9,000 sebulan

"Uptown Hawker Damansara dah buka semula tapi port macam R&R, okey juga sebab selesa dan bersih. Kalau tempat lama, hujan lecak sikit," katanya.

"Alaa rindu vibes old hawkers tu. Betul (medan selera baharu) dah macam vibes di RnR," tambah Sushiplzzz.

Walaupun sebilangan pengunjung setia mengakui merindui ‘old vibes’ Uptown yang lebih terbuka (open air) tetapi penuh nostalgia, usaha memperbaharui kawasan berkenaan tetap mendapat pujian kerana memberikan keselesaan, terutamanya pada musim hujan.

“Okay la, walaupun no more feeling macam Uptown sebelum ni, at least nak makan time hujan tak risau,” kata Aida Asmadi.

“Saya rasa tempat duduk (yang baru) ni banyak sikit, kalau lama tu memang sempit,” ujar Honey Bee Emelda lagi.

"Betul sekarang ni musim hujan, senang dan tak risau nak pergi makan di situ kerana sudah berbumbung," komen Adiladila.

Difahamkan, beberapa gerai popular seperti Uncle Yong Tau Foo, Bintang Sue, Chicken Chop Steven, Rojak Fajar, Lanun Steak Western dan Yazid Steak beroperasi di medan selera baharu itu sekali gus menjadi tarikan pengunjung.

Majoriti sebelum ini melaporkan, medan selera yang cukup nostalgik itu dikhabarkan berdepan detik getir kerana ramai peniaga mengambil keputusan menutup operasi berikutan kenaikan kadar sewa yang mendadak.

Kenaikan sewa yang terlalu tinggi akan menyebabkan lebih banyak peniaga kecil gulung tikar, sekali gus menghapuskan identiti kulinari tempatan yang selama ini menjadi tarikan kawasan Uptown Damansara.

Untuk rekod, Uptown Damansara mula berkembang sekitar awal 1980-an, dibangunkan sebagai kawasan komersial bersepadu.

Pada pertengahan 1990-an, gerai-gerai jalanan dirobohkan untuk membina medan selera bertingkat, yang menjadi asal nama 'Uptown'.

Populariti Uptown Damansara kemudian memuncak sekitar tahun 2005 dan kekal menjadi lokasi pilihan sehingga kini. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram