Hab bisnes TRX, Merdeka 118 pacu Kuala Lumpur duduki tangga ke-50 Bandar Terbaik Dunia 2026


  • Bisnes
  • Rabu, 26 Nov 2025

Kemunculan mercu tanda Merdeka 118 antara yang mendorong kepada pencapaian itu. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

RESONANCE Consultancy mengumumkan senarai 2026 World’s Best Cities, menampilkan lebih 270 metropolis global yang dinilai menerusi 34 indikator utama. 

London sekali lagi mengekalkan kedudukan teratas untuk tahun ke-11 berturut-turut, meraih tempat pertama dalam aspek kemakmuran, keterpesonaan dan kebolehdiaman.

Bandar itu turut mendahului kategori lapangan terbang dan syarikat besar, dengan laporan tersebut menonjolkan perkembangan panorama kota London, kemunculan bangunan pencakar langit baharu serta keupayaannya menarik pelancong, pelajar dan usahawan dari seluruh dunia.

BACA LAGI: Atasi kategori emas, baju sejuk wanita dominasi jualan 9.9 Lazada Malaysia tahun ini

BACA LAGI: Diplomasi durian dua negara, raja buah pengukuh jambatan dagang Malaysia–China

London mengekalkan kedudukan teratas untuk tahun ke-11 berturut-turut. — Matthew Pierce /Unsplash

Kuala Lumpur pula berada di kedudukan ke-50 dalam laporan 2026, didorong oleh pencapaian Top 5 Labour Force Participation, perkembangan hab perniagaan seperti Tun Razak Exchange, serta kemunculan mercu tanda baharu termasuk Merdeka 118.

Ia turut didorong pertumbuhan rangkaian hotel mewah yang meningkatkan infrastruktur serta daya tarik global bandar raya tersebut.

Sementara itu, New York di tempat kedua digambarkan sebagai 'degupan jantung abadi Amerika', menerajui carian Google Trends dan menunjukkan prestasi kukuh dalam pelaburan korporat. 

Paris pula berada di tempat ketiga, dipuji kerana muzium bertaraf dunia dan pengaruh budaya globalnya.

Tokyo menduduki tempat keempat, manakala Madrid naik ke tempat kelima, mengatasi Singapura hasil kelebihan dari segi kehidupan malam, inisiatif hijau dan pemulihan bandar. 

Dubai kembali memasuki senarai Top 10 di tempat kelapan, sementara Sydney terkeluar dari kelompok teratas.

Bagi Kuala Lumpur, selain pencapaian kukuh dalam Labour Force Participation serta Standard of Living, kedudukan ke-50 juga mencerminkan pemodenan kawasan Bukit Bintang City Centre di sekitar LaLaport dan dewan konsert Zepp.

Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-50 dalam laporan 2026 World's Best Cities Resonance Consultancy. — Kishor/Unsplash

Di samping itu, projek 'River of Life' bernilai berbilion dolar yang bertujuan memulihkan sungai Gombak dan Klang menyumbang kepada faktor tersebut.

Laporan 2026 World’s Best Cities disusun berdasarkan penilaian lebih 270 bandar global berpenduduk melebihi 1 juta, menggunakan data teras serta kandungan yang dijana pengguna daripada sumber seperti Google, Instagram dan TikTok. 

Resonance menilai 46 metrik dalam 30 kategori, meliputi pendidikan, budaya, kesalinghubungan, kehidupan malam, keselamatan dan indikator penting lain.

Kesemua metrik tersebut disusun di bawah tiga tonggak utama iaitu Livability, Lovability dan Prosperity (kemakmuran, keterpesonaan dan kebolehdiamanan) yang bersama-sama membentuk Place Power™ Score.

Data prestasi itu digabungkan dengan maklum balas persepsi daripada lebih 21,000 responden di 31 negara, bagi menentukan bandar yang paling ingin didiami, dilawati atau dijadikan tempat bekerja. 

Berikut 10 bandar terbaik dunia bagi 2026:

1. London

2. New York

3. Paris

4. Tokyo

5. Madrid

6. Singapura

7. Rome

8. Dubai

9. Berlin

10. Barcelona

Senarai penuh 100 bandar terbaik turut boleh dirujuk di pautan laporan rasmi. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram