Michelle Yeoh bakal terima anugerah pencapaian seumur hidup di Festival Filem Berlinale 2026


  • Maya
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Michelle Yeoh mencipta sejarah tersendiri apabila bakal dianugerahkan Honorary Golden Bear 2026 oleh festival filem Berlinale.

DALAM dunia perfileman antarabangsa, jumlah bintang Asia yang berjaya mencapai status legenda dengan pengaruh melangkaui benua masih lagi di skala kecil.

Namun, nama Tan Sri Michelle Yeoh kekal sebagai antara figura yang mengubah landskap sinema global bukan sahaja melalui bakat lakonan, tetapi juga keberanian memilih naskhah yang melangkaui bakat dimilikinya.

Tahun 2026 bakal menandakan satu lagi detik penting dalam kerjayanya apabila festival filem Berlinale mengumumkan penghormatan tertinggi buat ikon kelahiran Malaysia itu.

BACA LAGI: Henti diskriminasi warna kulit, air kelapa bantu lahir bayi ‘kulit putih’ cuma mitos — Dr. Imelda Balchin

BACA LAGI: Wakili Malaysia di tayangan perdana 'Wicked', Aisya Retno sempat berduet dengan Ariana Grande

Festival Filem Antarabangsa Berlin mengesahkan penganugerahan Honorary Golden Bear 2026 kepada Michelle sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan karya seninya dalam seni perfileman antarabangsa.

Anugerah berprestij itu akan disampaikan pada Majlis Perasmian Berlinale di Berlinale Palast, German pada 12 Februari 2026.

 

 

Menurut kenyataan pihak penganjur, bintang berusia 63 tahun itu dipilih kerana kedudukannya sebagai antara pelakon paling berpengaruh dan serba boleh dalam generasinya.

Dengan kerjaya menjangkau lebih empat dekad, beliau bukan sahaja memahat sejarah sebagai pelakon Asia yang berjaya di Hollywood, tetapi turut meninggalkan impak besar terhadap industri Hong Kong, Amerika, China dan seluruh dunia.

Ikon Asia melangkaui sempadan

Terdahulu, Michelle pernah menjadi ahli Juri Antarabangsa Berlinale pada 1999 dan sejak itu, kesemua karyanya terus mendapat tempat istimewa dalam kalangan penonton festival berkenaan.

Filem seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon serta Everything Everywhere All at Once mengukuhkan lagi reputasinya sebagai pelakon yang berani bereksperimen dan sentiasa menyampaikan lakonan bertaraf dunia.

Mengimbas pengalamannya, beliau menyifatkan Berlin sentiasa menjadi nadi penting dalam perjalanan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Berlin sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hati saya, ia adalah antara festival terawal yang menerima karya saya dengan penuh kemesraan.

"Kembali sebagai penerima pengiktirafan ini benar-benar bermakna," katanya.

Dari pentas Asia ke Hollywood

Memulakan kerjaya pada era 1980-an, Yeoh mencipta nama menerusi filem aksi Hong Kong seperti Yes, Madam, Royal Warriors, Police Story III dan Wing Chun.

Keupayaannya melakukan aksi sendiri menjadikan beliau antara ikon wanita paling berpengaruh dalam genre seni mempertahankan diri di Asia.

Kejayaan antarabangsa hadir pada 1997 apabila Yeoh memegang watak ejen rahsia China, Wai Lin, dalam filem James Bond Tomorrow Never Dies antara penampilan paling diingati dalam francais itu.

Namun, filem epik seni bela diri arahan Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon, melonjakkan Yeoh ke puncak global sebagai pelakon yang mampu menyampaikan dimensi berbeza dalam lakonan.

Titik kemuncak kerjayanya hadir pada 2023 apabila Yeoh meraih sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All at Once.

Dengan penganugerahan Honorary Golden Bear 2026, nama Michelle kini sebaris dengan beberapa tokoh besar dunia perfileman seperti Helen Mirren, Martin Scorsese, Meryl Streep, Steven Spielberg dan Tilda Swinton.

Penghormatan itu sekali gus membuktikan bahawa perjalanan Michelle Yeoh bukan sahaja mencipta inspirasi bagi pelakon Asia, tetapi juga mencerminkan bagaimana keberanian serta dedikasi mampu mengubah wajah industri perfileman antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram