Soalan bocor SPM: Belum terima laporan rasmi, tapi KPM tetap siasat


  • Massa
  • Selasa, 25 Nov 2025

Mohd Azam Ahmad ketika hadir meninjau pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) pada Selasa.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti dakwaan kononnya soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijual secara dalam talian.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima, namun pihaknya maklum mengenai dakwaan yang tular di media sosial.

"Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) mempunyai prosedur tertentu untuk menangani isu seperti ini.

"Buat masa ini, kita percaya keadaan masih terkawal," katanya ketika melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan SPM di SMK Putrajaya Presint 11(1) pada Selasa.

BACA LAGI : Jimat kira-kira RM800 setahun, ramai masih tak tahu individu OKU, waris layak dapat cukai jalan percuma

BACA LAGI : Pelan kontingensi diaktifkan, 259 calon SPM terjejas banjir diberi bantuan

Hantaran Facebook tular yang mendakwa kononnya soalan peperiksaan SPM dijual secara dalam talian.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata jadual SPM tahun ini kembali kepada takwim asal selepas beberapa tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

"Kita sedar pelaksanaan SPM pada November dan Disember berdepan risiko musim hujan serta banjir. Namun, persediaan sudah dilakukan lebih awal," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ops Payung telah diaktifkan sebagai langkah kesiapsiagaan bersama pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi lain. — The Star/JAAYNE JEEVITA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram