KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan pelan kontingensi bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan seperti dijadualkan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, setakat pukul 5 petang Ahad, seramai 259 calon SPM dikenal pasti terjejas, namun semuanya dipindahkan ke lokasi lebih selamat atau dibantu agensi kerajaan untuk sampai ke pusat peperiksaan masing-masing.
"Usaha pemetaan risiko banjir dilaksanakan sejak September lagi bagi mengenal pasti pelajar yang tinggal di kawasan berisiko tinggi berhampiran sungai atau kawasan mudah dilanda banjir.
BACA LAGI : Jimat kira-kira RM800 setahun, ramai masih tak tahu individu OKU, waris layak dapat cukai jalan percuma
"Kita sudah mengetahui anggaran jumlah pelajar yang mungkin terlibat sekiranya banjir berlaku, sebab itu langkah awal diambil.
"Kesemua 16 Jabatan Pendidikan Negeri juga memaklumkan kepada saya setakat jam 6.30 pagi bahawa peperiksaan bertulis SPM berjalan seperti biasa," katanya ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di Putrajaya pada Selasa.
Mengulas perkembangan terkini setakat Isnin, beliau berkata walaupun 259 calon terjejas, sebahagian besar masih dapat menduduki peperiksaan di pusat asal.
"Hanya sebilangan kecil sahaja dipindahkan ke pusat alternatif yang disediakan.
"Biasanya pusat peperiksaan berisiko tinggi mempunyai jumlah calon yang kecil, sekitar dua hingga empat orang sahaja.
"Sebab itu kita mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri mengambil tindakan awal sebelum banjir melanda,” jelasnya.
Sebanyak 413,372 calon menduduki SPM 2025, dengan peperiksaan bermula pada Selasa melibatkan Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual Kertas 1 dan Bahasa Melayu Kertas 2. — The Star/JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
