Kebajikan polis lebih terjamin, PDRM mampu miliki aset terkini jika wujud kementerian khas — VPOL


  • Massa
  • Rabu, 26 Nov 2025

VPOL menyambut baik cadangan untuk mewujudkan kementerian khas buat polis.

PERSATUAN Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL) menyatakan sokongan terhadap cadangan bagi mewujudkan kementerian khas bagi badan kepolisan di negara ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu, VPOL menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hazman yang membawa perkara itu ke Dewan Rakyat selepas melihat terdapat keperluan untuk badan kepolisan negara mempunyai kementerian sendiri.

Hal ini kerana, bilangan anggota yang besar serta keperluan semasa menyebabkan perlunya kementerian itu diwujudkan.

BACA LAGI: KPDN sahkan tiada unsur penipuan selepas periksa lebih 2,000 pam RON95 di seluruh negara

BACA LAGI: [VIDEO] 4,000 rakyat Malaysia terkandas di Hat Yai-Songkhla, Wisma Putra pantau rapat keadaan semasa

Malah sebelum ini, mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mencadangkan perkara sama semasa di akhir perkhidmatannya.

"VPOL percaya dan optimis jika penubuhan kementerian ini dapat direalisasikan ia akan memberikan impak yang amat baik kepada anggota polis dan juga warga veteran polis secara keseluruhannya.

"Penubuhan kementerian ini juga dapat memberikan jaminan kebajikan yang holistik terhadap anggota polis dan juga warga veteran polis. Hal ini kerana satu kementerian khas akan mempunyai bajet tersendiri.

"Ia juga akan memudahkan PDRM memiliki aset terkini agar seiring dengan peredaran teknologi semasa dalam mencegah jenayah dan menjamin keselamatan masyarakat.

"Sebuah Jabatan Hal Ehwal Veteran Polis juga boleh diwujudkan dibawah kementerian baharu ini bagi menjaga kebajikan anggota polis selepas mereka berkhidmat," kata VPOL.

Bagi VPOL, cadangan itu dilihat satu penyelesaian komprehensif baik buat warga polis semasa dan ahli veterannya.

Ia juga seiring dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan agensi dan badan kerajaan sambil kebajikan rakyat dijaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram