Tak sempat keluar peluh, import Selangor FC tinggalkan kelab


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

Domgjoni tidak bermain sebarang perlawanan untuk Selangor.

KELAB Liga Super, Selangor FC memilih untuk berpisah dengan pemain tengah import mereka, Toni Domgjoni akibat faktor peribadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab itu pada Rabu, Selangor mengatakan yang pemergian pemain dari Kosovo itu adalah faktor kesihatan dan keluarga.

Domgjoni yang tiba serentak dengan seorang lagi pemain import iaitu Mamadou Diarra sebelum aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACLTwo) menentang Persib Bandung pada 6 November tidak bermain walaupun seminit untuk kelab itu.

BACA LAGI: Tak sambung kontrak di TFC, perancang Sabah-JDT-NSFC boleh jadi pengganti Nurillo

BACA LAGI: FAM tolak rayuan Selangor, kekal dihukum denda dan beraksi tanpa penyokong

Ketika itu, Diarra diturunkan sementara Domgjoni tidak diturunkan akibat mengalami masalah kesihatan.

"Selangor FC mengesahkan bahawa kelab dan Toni Domgjoni telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya serta-merta.

"Sejurus tiba di Malaysia, dia berdepan isu kesihatan dan hal keluarga yang menjejaskan penyertaannya dalam latihan penuh serta komitmen bersama skuad Selangor FC.

"Toni kekal profesional sepanjang berada dalam keluarga Merah Kuning, dan kelab amat menghargai usaha serta dedikasinya sambil mengutamakan kesihatan dan kebajikan beliau," kata Selangor.

Terdahulu, rayuan Selangor terhadap hukuman dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) rentetan kekecohan penyokong semasa suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC ditolak.

Selangor tetap didenda RM100,000 serta perlu beraksi dalam stadium kosong untuk dua perlawanan Piala FA seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram