KERAJAAN kini dalam proses menyertai Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) bagi memperhebat usaha mempomosi naratif positif industri sawit negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad berkata, usaha menjadi ahli kesatuan itu juga bagi membolehkan negara memperkukuh komunikasi dan perkongsian maklumat mengenai amalan lestari industri sawit tempatan.
“Langkah itu penting supaya kita boleh meyakinkan dunia bahawa industri sawit Malaysia adalah industri yang mampan, mematuhi undang-undang dan tidak menyebabkan kemusnahan alam sekitar,” katanya.
BACA LAGI : Bakal lancar buku Tapak Hidupan Liar, MPOGCF ada hasrat 'terbangkan' siri Jelajah Sawit Hijau ke Borneo
BACA LAGI : Jelajah Sawit Hijau Siri 3 meriah, aspek kebajikan, kesejahteraan hidupan liar terus diperhebat
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan yang berlangsung di Melawati Mall, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Hairulazim Mahmud; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konsevasi Hidupan Liar,Tuan Chek Salan @ Mohd Saiful Mohd Zain; Ahli Lembaga Pemenagang Amanah Yayasan Pemuliharaan MPOGC, Andy Lee Yiew Meng; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Parveez Ghulam Khadir dan Pengurus Suria FM, Borhanuddin Abdullah.
Pada masa sama, kerajaan turut komited menjaga kebajikan pekebun kecil bagai memastikan standard kemampanan dipatuhi.

(Dari kiri) Borhanuddin Abdullah, Hairulazim Mahmud, Razali Mohamad, Andy Lee, Tuan Chek Salan dan Parveez Ghulam Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan yang berlangsung di Melawati Mall, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Kata Razali, lebih 200,000 pekebun kecil kini di bawah skim seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan pekebun kecil persendirian berada di bawah seliaan MPOB.
"Semua pekebun kecil berada dalam sistem pemantauan MPOB.
"Kebajikan mereka dijaga dan latihan diberikan supaya amalan penanaman sentiasa mematuhi piawaian," katanya.
Mengulas mengenai buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan, beliau berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai spesies fauna yang hidup bersama ekosistem tanaman sawit.
"Buku itu diterbitkan bagi membantu pengurusan ladang dan pekebun kecil mengenal pasti tapak kaki hidupan liar selaras dengan keperluan pensijilan MSPO dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Kita nak mereka kenal apakah hidupan liar yang ada di ladang sawit dan bila mereka kenal binatang, tentu mereka lebih bersedia sama ada berdepan dengan binatang yang berbahaya atau yang friendly, mereka boleh bersedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan, " katanya lagi.

Buku ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai spesies fauna yang hidup bersama ekosistem tanaman sawit.
Memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, Jelajah Sawit Hijau dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.
Program dicetuskan MPOGCF itu turut menampilkan rakan strategik Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Earthworm Foundation (EF) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Barn Owl & Rodent Research Group.

(Duduk, tiga dari kiri) Razali Mohamad bersama para pengunjung yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 dan Pelancaran Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar Di Lapangan yang berlangsung di Melawati Mall, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Matlamat utama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.
Pada masa sama, jelajah itu juga bertujuan untuk menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Melalui kempen kesedaran awam seumpama ini pelbagai aktiviti dijalankan bagi menyalurkan maklumat, sekali gus menarik minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap kehidupan alam semula jadi di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
